Farmasi jual kit ujian kendiri Covid-19 lepasi harga siling diberi amaran

Iklan
Kit ujian pantas Covid-19 dijual pada harga serendah RM15.50 untuk satu set di sebuah farmasi di sini.

ALOR SETAR - Sebuah farmasi di Kedah diberikan notis amaran selepas didapati menjual kit ujian kendiri Covid-19 melepasi harga runcit maksimum ditetapkan sejak 5 September lepas.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, Rae Morn Verak berkata, kit ujian kendiri Covid-19 di premis itu dipercayai dijual pada harga RM39.90 dalam pemeriksaan pada Selasa.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, farmasi berkenaan dikehendaki menyelaraskan harga kit ujian kendiri dengan harga runcit maksimum pada RM19.90 bagi setiap set dan harga borong ditetapkan RM16.

"Kami difahamkan set ujian kendiri Covid-19 itu adalah stok lama dan farmasi tersebut perlu menyelaraskan harga dan berbincang semula dengan pembekal untuk mendapatkan harga seperti ditetapkan.

Iklan

"Peniaga dan pengusaha farmasi diberikan tempoh seminggu sehingga 12 September ini untuk membuat penyelarasan harga dari tempoh kuat kuasa harga siling kit ujian kendiri pada 5 September lepas," katanya.

Rae Morn berkata sedemikian kepada pemberita selepas pemantauan harga maksimum kit ujian pantas antigen Covid-19 di dua farmasi di Simpang Kuala, di sini, pada Rabu.

Iklan

Hadir sama, Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kedah, Mohd Shahran Mohd Arshad.

Bagaimanapun, katanya, hasil pemeriksaan selama 25 hari sejak 15 Ogos sehingga Selasa ke atas 180 farmasi di Kedah mendapati, majoriti premis menjual kit ujian kendiri terbabit pada harga kawalan ditetapkan.

"Melalui pemeriksaan, ada farmasi di negeri ini dikesan menjual produk itu pada harga lebih rendah, sekali gus ada mampu menjual sehingga 500 set kit ujian pantas sehari kepada pengguna, syarikat dan kilang," katanya.

KPDNHEP Kedah akan mengadakan pemantauan dan pemeriksaan berterusan dari semasa ke semasa di bawah Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan 2011 bagi mengelakkan penjualan kit ujian kendiri Covid-19 pada harga tidak terkawal.

Katanya, peniaga yang gagal mematuhi peratuan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali ataupun dikompaun sehingga RM50,000 bagi individu jika sabit kesalahan.

"Syarikat pula boleh berdepan hukuman denda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000 sekiranya didapati bersalah menjual melebihi harga maksimum," katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, setakat ini, maklumat diterima mendapati bekalan kit ujian kendiri Covid-19 mencukupi dan tiada masalah terhadap stok produk tersebut.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Big Pharmacy dan Georgetown Pharmacy di sini mendapati, kit ujian pantas Covid-19 dijual pada harga serendah RM15.50 untuk satu set.