Sasar pelajar sekolah terima vaksin bulan ini

Iklan
Dr Nor Azimi

KUANTAN - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menyasarkan seramai 113,000 pelajar sekolah yang layak divaksin, menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19 pada pertengahan bulan ini.

Pengarah JKNP Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, pemberian suntikan itu akan dilakukan secara berperingkat membabitkan pelajar berusia 12 hingga 18 tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suntikan dos pertama mereka akan diberikan sebaik sahaja penyelarasan dibuat antara ‘task force’ Pahang dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang mendapat kata putus.

"Pelajar tingkatan 4, 5 dan 6 akan diberi keutamaan untuk menerima vaksin Covid-19 kerana mereka bakal menduduki peperiksaan iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Kalau boleh mereka (pelajar) ini perlu melengkapkan dua dos sebelum sesi persekolahan bermula pada Oktober ini

Iklan

"Bagi pelajar berusia 12 hingga 15 tahun pula akan mengutamakan mereka yang menghidapi penyakit dan berisiko,” katanya memetik temu bual bicara Pahang secara maya yang disiarkan di laman Facebook milik Kerajaan Pahang pada Rabu.

Beliau menjelaskan, jawatankuasa petugas khas imunisasi Covid-19 (CIFT) telah membenarkan pemberian suntikan vaksin itu kepada golongan itu.

Iklan

Katanya, beberapa negeri seperti Sarawak dan Labuan akan memulakan suntikan dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut mengenai jumlah populasi dewasa penduduk di Pahang yang sudah menerima vaksinasi, Dr Nor Azimi berkata, setakat Selasa, sebanyak 54.9 peratus daripada keseluruhan 1.175 juta golongan dewasa yang layak divaksin telah lengkap menerima suntikan mereka.

Bagaimanapun katanya, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 18 peratus populasi dewasa masih belum mendaftar sebagai penerima vaksin.

Justeru, pihaknya sedang giat melaksanakan Program Outreach Vaksinasi (POV) di seluruh Pahang terutama di kawasan luar bandar.

"Program POV ini dilaksanakan bagi membantu memudahkan rakyat menerima vaksin selain mendaftarkan golongan yang tercicir menerusi MySejahtera.

"Pihak kita juga telah memulakan proses pemberian vaksin secara terus walk-in bagi mempercepatkan pemberian bagi mencapai sasaran 100 peratus penghujung bulan ini," katanya.