JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang pemandu kereta Perodua Viva yang dipercayai memandu secara melawan arus di bulatan Medini dekat Iskandar Puteri pada Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, lelaki berumur 34 itu ditahan pada jam 5 petang Selasa di Balai Polis Trafik Gelang Patah selepas diminta hadir memberi keterangan.
Beliau berkata, hasil risikan yang dijalankan mendapati individu terbabit membawa kereta milik sepupunya pada hari kejadian.
"Pemilik kereta itu diminta hadir ke balai polis trafik dan memberitahu bahawa sepupunya membawa kenderaan miliknya ketika kejadian, individu (pemandu) terbabit kemudian diminta hadir untuk diambil keterangan dan memberikan alasan bahawa keliru dengan jalan bulatan tersebut.
"Individu tersebut juga mengaku memandu secara melawan arus yang boleh mendatangkan bahaya kepada dirinya serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya menerusi kenyataan di sini pada Rabu.
Bagaimanapun Dzulkhairi berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati individu terbabit negatif dadah.
Katanya, pihak polis turut mengeluarkan saman kepada pemilik kenderaan itu atas kesalahan membenarkan individu memandu tanpa lesen dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Video berdurasi 17 saat sebelum itu tular dalam media sosial yang memaparkan sebuah Perodua Viva berwarna perak dipandu melawan arus dan dipercayai video itu dirakam pengguna lebuh raya lain sebelum ia dimuat naik dalam Facebook. - Bernama