ALOR SETAR - Kes pasangan dari Kedah yang berkahwin tanpa kebenaran di Thailand dilihat semakin membimbangkan apabila sebanyak 799 kes dicatatkan tahun lalu, meningkat 233 kes daripada 566 kes pada 2017.
Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, jumlah itu merangkumi kesalahan pernikahan tanpa kebenaran dan berpoligami tanpa kebenaran yang direkodkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri ini.
"Kesalahan nikah di Thailand ini terbahagi kepada pernikahan tanpa kebenaran seperti nikah di sana (Thailand) sebab keluarga menghalang iaitu kesalahan di bawah Seksyen 40(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah) 2008 dan poligami tanpa kebenaran yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 124 enakmen sama.
"Sebanyak 502 kes pernikahan tanpa kebenaran dan 297 kes poligami tanpa kebenaran dicatatkan tahun lepas, manakala 406 kes pernikahan tanpa kebenaran dengan 160 kes poligami tanpa kebenaran pula direkodkan berlaku tahun sebelumnya,” katanya di pejabatnya di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, berdasarkan statistik tahun lalu, pasangan dari daerah Kota Setar mencatatkan jumlah tertinggi yang melakukan kesalahan itu dengan 118 kes, diikuti Langkawi (116), Kubang Pasu (110) dan Pendang (44 kes).
"Kita percaya masih ramai pasangan dari Kedah yang berkahwin di negara jiran tidak mendaftarkan perkahwinan mereka di pejabat agama Islam di sini dan keadaan ini amat membimbangkan kerana akan memberi implikasi terhadap hak isteri dan urusan pendaftaran anak.
"Bagi menangani masalah itu, kerajaan negeri mengambil inisiatif melaksanakan kempen ‘Jom Daftar Nikah’ mulai 1 Mac lalu yang bertujuan menggalakkan pasangan yang belum mendaftar perkahwinan mereka untuk berbuat demikian," katanya.
Dr Ismail berkata, menerusi kempen itu pejabat agama Islam negeri akan menjadi pemudah cara termasuk membantu menyediakan segala urusan dokumentasi untuk pasangan tersebut mendaftarkan pernikahan mereka.
"Kempen ini merupakan hasil kesinambungan Program Mai Daftar Nikah 2018 daripada kerajaan negeri terdahulu tetapi ditambah baik lagi dalam kempen yang kerajaan negeri sekarang buat kerana program dahulu dilihat tidak berjaya,” katanya.
Bagaimanapun, menurutnya pasangan terbabit tetap dikenakan denda yang akan ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Syariah berdasarkan kesalahan yang dilakukan.
"Saya jamin jumlah denda itu nanti tidak akan membebankan pasangan yang mendaftarkan pernikahan menerusi kempen ini.
"Saya pun dah jumpa Bahagian Keluarga Islam dan Yang Arif Datuk Mahkamah Syariah...kedua-dua (pihak) setuju dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk Kempen Jom Daftar Nikah ini,” katanya. - Bernama