SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan menahan lima lelaki warga tempatan dipercayai terlibat kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen (ah long) di Negeri Sembilan dalam tiga serbuan berasingan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, kesemua suspek berumur 20 hingga 42 tahun itu ditahan sekitar Seremban, Nilai dan Bandar Baru Sendayan pada Isnin lepas dan Selasa.
"Tangkapan pertama melibatkan dua lelaki berusia 30 dan 38 tahun di Seremban pada Isnin lepas dan wang tunai RM1,700 dirampas, dua keping kad mesin pengeluaran automatik, beg dan dua buah telefon bimbit.
"Penahanan suspek ini susulan laporan polis dibuat oleh seorang peniaga berusia 21 tahun selepas mendapati kereta pacuan empat roda miliknya disimbah cat pada 29 Ogos lepas di Lukut, Port Dickson," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri Sembilan pada Rabu.
Mohamad berkata, mangsa memaklumkan ada membuat pinjaman daripada lima pemberi pinjaman wang dengan jumlah keseluruhan lebih kurang RM100,000 untuk tujuan perniagaan bengkel kereta miliknya pada tahun 2019 dan pinjaman itu masih belum dilunaskan.
Katanya, tangkapan kedua membabitkan seorang lelaki berusia 20 tahun di Bandar Baru Nilai pada Isnin bagi membantu siasatan bersabit kes seorang ejen pengangkutan berusia 32 tahun mendakwa diganggu oleh pemberi pinjam wang tanpa lesen.
"Pada April lepas mangsa ada membuat pinjaman peribadi berjumlah RM8,000, namun hanya RM4,900 dimasukkan ke dalam akaun banknya.
"Mangsa mendakwa keretanya disimbah cat merah disyaki oleh ejen pinjaman tersebut selepas dia tidak dapat membuat pembayaran kerana mengalami masalah kewangan pada hujung Jun lepas malah bayaran pinjamannya bertambah sebanyak RM20,000," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, pihaknya menahan dua lelaki berumur 37 dan 42 tahun dipercayai ah long selepas dikesan menggantung kain rentang mempromosikan pinjaman wang tanpa lesen di Bandar Baru Sendayan pada Selasa.
"Polis turut merampas tiga telefon bimbit, sebuah kereta jenis Perodua Alza, satu tukul besi, 17 keping kain rentang pinjaman wang, 134 keping risalah tertera pinjam wang berlesen dipercayai dan bekas mengandungi paku," katanya.
Mohamad berkata, kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta pemberi- pemberi wang bagi mengenalpasti individu ataupun sindiket yang terlibat menjalankan kegiatan pemberi pinjaman wang tanpa lesen.