Tiga pengerusi MPKK orang asli sokong nyah warta HSKLU

Iklan
Loy Sian memuat naik memorandum berhubung sokongan tiga Pengerusi MPKK Orang Asli terhadap keputusan Selangor berhubung penyahwartaan HSKLU.

SHAH ALAM - Tiga Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kampung orang asli di Kuala Langat menyatakan sokongan terhadap keputusan kerajaan Selangor menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Mereka ialah Raman Pahat (Pulau Kempas), Bayet Pipis (Cheeding) dan Katun Kechit (Bukit Kechil) yang menyatakan sokongan menerusi memorandum kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Exco Selangor.

Iklan
Iklan

Memorandum tiga muka surat itu dikongsikan Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian menerusi Facebook beliau pada Rabu.

Kandungan memorandum itu menegaskan bahawa penduduk orang asli di Kuala Langat menyokong usaha nyah warta HSKLU demi kemajuan serta pembangunan untuk kerajaan Selangor.

Iklan

"Namun kami yakin dengan janji kerajaan Selangor yang mahukan kadar keluasan hutan simpan di Selangor kekal melebihi 31 peratus.

"Kami percaya bahawa kerajaan Selangor akan membangunkan kawasan tersebut dengan sistematik serta tidak meminggir arus pembangunan serta infrastruktur bagi perkampungan orang asli pada masa depan," kata mereka menerusi memorandum berkenaan.

Iklan

Menerusi memorandum itu juga, mereka menyatakan bahawa pembangunan di kawasan HSKLU membuka peluang pekerjaan dan perniagaan bagi generasi penduduk orang asli.

Sekali gus, kata mereka, ia dapat menaik taraf kehidupan orang asli seiring dengan masyarakat di negeri ini.

"Kami seluruh masyarakat orang asli di Kuala Langat tidak mahu ketinggalan dalam menikmati kemajuan di Selangor.

"Berdasarkan asas-asas tuntutan di atas, kami memohon agar pihak berwajib dapat mempercepatkan proses akhir pewartaan Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Bukit Kechil dan Bukit Cheeding sebelum ia dirampas atau diambil dengan sewenang-wenangnya oleh pihak berkepentingan dengan alasan-alasan mungkin dianggap munasabah," kata mereka.

Memorandum tersebut juga menyebut bahawa masyarakat orang asli di Kuala Langat tidak menolak sebarang usaha berkenaan dengan proses nyah warta HSKLU bagi usaha permodenan dan pembangunan negeri.

Menurut mereka, sebelum proses pembangunan dibuat, hak-hak yang sepatutnya menjadi milik orang asli hendaklah dipelihara dan dijamin terlebih dahulu.

"Ini adalah penting agar sebarang tindakan yang sewajarnya boleh diambil sekiranya hak kami dirampas dengan sengaja atau tidak sengaja oleh pihak lain.

"Besarlah harapan kami agar segala infrastruktur dan kemudahan bersesuaian dibina serta dipertingkatkan agar dapat dinikmati oleh seluruh penduduk kampung orang asli serta generasi yang akan datang," kata mereka.

Sementara itu, Loy Sian menerusi status dimuat naik di Facebook berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada petang Rabu akan membuat keputusan sama ada penyahwartaan diteruskan, dibatalkan atau ditangguhkan.

"Biasalah ada yang menyokong dan ada yang membantah berhubung penyahwartaan HSKLU ini," kata beliau.