Covid-19: Pulau Pangkor belum dibuka untuk gelembung pelancongan

Iklan
Pulau Pangkor - Foto 123RF

IPOH - Pulau Pangkor masih belum bersedia menjadi sebagai salah satu destinasi pelancongan bebas Covid-19 atau gelembung hijau pelancongan seperti Pulau Langkawi.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, perkara itu disebabkan masih terdapat beberapa kriteria yang belum dipenuhi terutama melibatkan vaksinasi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan Perak sedang berusaha memenuhi kriteria berkenaan bagi membolehkan Pulau Pangkor dibuka kepada pelancong melalui program gelembung hijau pelancongan.

"Kami sebenarnya baharu berbincang di dalam Majlis Pelancongan Perak yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad, semalam (Selasa). Pada waktu dan ketika ini, Pulau Pangkor masih belum mendapat kebenaran untuk dijadikan sebagai Covid-19 Free Destination memandangkan ada lagi beberapa kriteria masih belum dipenuhi dari segi bilangan vaksinasi.

Iklan

"Telah hampir mencapai 100 peratus senarai yang telah dikenal pasti untuk vaksinasi tetapi senarai itu masih lagi belum mencukupi dari segi imuniti kelompok yang diperlukan. Jadi, akan lihat samada perkara ini boleh dicapai pada hujung bulan September untuk dipertimbangkan oleh kerajaan persekutuan," katanya dalam sidang akhbar Simposium Muzik Ipoh: Nusantara secara maya pada Rabu.

Sementara itu, mengenai simposium berkenaan, Nolee Ashilin berkata, penganjuran program berkenaan diadakan bagi membuka ruang kepada pengkaji dan peminat irama muzik Nusantara untuk berbincang mengenai perkembangan genre muzik ini.

Iklan

Menurutnya, impak serta kesan daripada simposium berkenaan boleh menjadi satu rujukan penting kepada pihak-pihak berkepentingan untuk menilai serta menyusun dasar yang boleh menyokong pergerakan seni dan budaya termasuk sektor pelancongan negeri.

"Melalui simposium ini, akan dapat mengumpul pelbagai maklumat dan fakta untuk merungkai segala persoalan yang timbul mengenai muzik yang berkait rapat dengan elemen nusantara ini.

"Saya berbangga dengan usaha dilaksanakan oleh Koloni Karyawan Perak (PORT) dan Gerakan Seni Ipoh dengan penganjuran kali ketiga simposium ini. Jika tahun lepas dengan tema Rock Kapak kita berjaya menarik khalayak seramai 150,000 orang, kali ini diharap jumlahnya dua kali ganda," katanya.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah PORT berkata, penganjuran simposium kali ini bukan sahaja melibatkan tokoh karyawan dari dalam negara tetapi turut disertai oleh karyawan dari Indonesia.

Menurutnya, antara nama-nama besar yang akan turut serta dalam simposium berkenaan, M Nasir, Mamat Khalid, Profesor Madya Dr Mohd Azam atau Azam Dungun, Manan Ngah serta karyawan dari Indonesia seperti Aris Setyawan dan Dr Citra Aryandari.

Hadir sama dalam sidang akhbar itu, Ahli Lembaga Pengarah PORT merangkap Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.