JOHOR BAHRU - ADUN Stulang, Andrew Chen memohon maaf kepada penduduk di Taman Kim Teng susulan isu pengambilalihan tanah berulang lagi selepas reda lima tahun lalu.
Beliau akui kesal dengan perkara tersebut dan berjanji berjanji akan membangkitkan perkara berkenaan kepada Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dan exco berkaitan.
"Saya minta maaf isu ini dibangkitkan lagi. Sebagai wakil rakyat saya kesal ia berulang.
"Dalam hal ini jelas pandangan rakyat diketepikan. Sebelum Seksyen 4 (dilaksana) rakyat perlu dibawa berunding dulu, mereka akan rasa lebih bermaruah dan tidak terhina.
"Rata-rata penduduk yang saya temui memang tak nak pindah. Mereka dah tua, nak pindah mana, nak berhutang bank lagi," katanya kepada penduduk taman perumahan itu yang hadir pada sesi 'town hall' di sini, hari ini.
Tegasnya, masih belum terlambat untuk kesemua pemegang taruh memberi penjelasan kepada penduduk terlibat.
"Semua pemegang taruh perlu buat taklimat kepada penduduk. Masih belum terlambat untuk mereka jelaskan segala perancangan.
"Memang ada kelemahan dalam akta tanah kita ini yang perlu dilihat kembali," katanya.