Istana Budaya tangguh pementasan langsung

Iklan
Istana Budaya hanya akan membuat pementasan secara langsung menjelang awal Oktober berikutan separuh kakitangannya masih belum lengkap dua dos vaksin. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Istana Budaya hanya akan membuat pementasan secara langsung menjelang awal Oktober berikutan separuh kakitangannya masih belum lengkap dua dos vaksin, yang menjadi antara syarat kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) industri kreatif beroperasi semula mulai Khamis.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Zaiton Md Desa berkata, selain faktor itu, kebanyakan kakitangannya masih perlu bertugas di pusat pemberian vaksin (PPV) bagi membantu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berjalan.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, hanya 70 peratus kakitangan kami telah lengkap dua dos vaksin. Atas faktor itu, buat sementara waktu, kami hanya boleh membuat persembahan secara rakaman dengan memberi keutamaan kepada program terbitan dalaman,” katanya kepada Bernama pada Rabu.

Bagaimanapun katanya, kelonggaran yang diberikan membantu memudahkan pihaknya membuat perancangan pementasan seperti latihan dan perbincangan selain persediaan ruang premis mengikut SOP yang ditetapkan.

Iklan

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kelonggaran prosedur SOP Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi industri kreatif berdasarkan perbincangan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 pada 2 September lepas.

Persetujuan untuk memberi kelonggaran ini adalah tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara, termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.

Iklan

Sementara itu, Presiden Kelab Malaysia Buskers (MYBC), Wady Hamdan menyifatkan pengumuman tersebut ibarat bulan jatuh ke riba sekali gus memberi motivasi kepada penghibur jalanan untuk terus berkarya walaupun hanya dibenarkan di dalam bangunan.

Wady berkata, selain boleh beraksi semula, penghibur jalanan juga boleh menjana pendapatan di tempat lebih meluas termasuk pusat beli-belah dan restoran.

"Kelonggaran ini juga saya lihat sebagai penghargaan kepada peranan golongan busker yang bukan sekadar menghibur tetapi juga menyampaikan maklumat menerusi karya seni," katanya.

Turut senada, Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) Pansha dengan berkata, kelonggaran itu dapat menceriakan semula sekali gus memberi kelegaan kepada warga seni yang telah lengkap menerima dua dos vaksin untuk meraih pendapatan sara hidup.

"Ia juga memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk melepaskan tekanan hidup dengan berhibur bersama keluarga ke pawagam setelah sekian lama terpaksa duduk di rumah mematuhi SOP.

"Kami menyambut baik dan amat berterima kasih atas keprihatinan kerajaan terhadap warga seni dan membangunkan semula ekonomi industri kreatif yang telah teruk terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) juga berharap agar semua ahlinya dapat bekerja semula dengan mematuhi semua SOP yang ditetapkan.

"Seniman menyambut baik pengumuman ini disebabkan kami telah berjuang untuk pembukaan semula industri kreatif sejak sekian lama,” menurut persatuan itu dalam hantaran menerusi Facebook rasminya. - Bernama