KUALA LUMPUR - Syarikat penapis India dilihat lebih menggemari import minyak sawit dari Malaysia susulan daripada cukai eksport dan levi tinggi dikenakan Indonesia.
Pengarah Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA), Dr B. V. Mehta berkata, antara Januari dan Jun 2021, negara itu mengimport 1.75 juta tan metrik minyak sawit Malaysia berbanding 1.72 juta tan metrik yang diimport dari Indonesia.
"Malaysia mempunyai kelebihan tambahan berbanding Indonesia, berdasarkan senario semasa," katanya dalam pembentangannya mengenai 'Pasaran Minyak Sawit di India - Cabaran dan Peluang' di World Palm Virtual Expo and Conference 2021, pada Rabu.
Menurut laporan baru-baru ini, Indonesia mengenakan levi lebih tinggi terhadap eksport minyak sawit mentah pada bulan Disember untuk mengumpulkan dana untuk program biodiesel berasaskan sawit yang bertujuan memaksimumkan penggunaan minyak boleh makan tempatan.
Mehta berkata, minyak sawit menyumbang kira-kira 40 peratus daripada penggunaan minyak boleh dimakan di India kebanyakannya digunakan di hotel, segmen restoran dan katering diikuti oleh minyak kacang soya, mustard dan minyak bunga matahari.
"Di India, minyak sawit masih dianggap sebagai minyak murah untuk isi rumah berpendapatan rendah berbanding isi rumah berpendapatan sederhana dan menengah," katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Malaysia dan Indonesia mengadakan kempen di India untuk mengubah pemikiran masyarakat yang akan mendorong permintaan yang lebih tinggi untuk import minyak sawit ke India. -Bernama