Adat istiadat sembah taat setia akui pelantikan Maarof

Iklan
Maarof

JELEBU - Adat Istiadat Sembah Taat Setia dan Menjunjung Kaus Undang Luak Jelebu ke-16, Datuk Maarof Mat Rashad telah dimulakan secara rasmi di sini, hari ini.

Istiadat berkenaan merupakan sebahagian daripada istiadat menzahirkan perakuan Maarof sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 yang akan diadakan di Istana Besar Seri Menanti, dalam masa terdekat ini.

Iklan
Iklan

Istiadat yang berlangsung selama sehari itu dimulakan dengan Mandi Berlangir di pekarangan balai kediaman Undang Luak Jelebu ke-16, pagi tadi.

Adat ini sebagai simbolik menaikkan 'andeka' atau daulat Maarof sebagai Undang Luak Jelebu yang baharu.

Iklan

Selesai bersiram, Maarof diiringi Datuk Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari, Ismail Mohd Zin dan Ibu Soko, Maimon Rashad berangkat ke balai kediaman bagi upacara Adat Istiadat Sembah Taat Setia dan Menjunjung Kaus oleh pembesar-pembesar adat dan Waris Jelebu. Majlis seterusnya dimulakan dengan ucapan lafaz taat setia oleh Datuk Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari Ismail Mohd Zin sebagai kepala adat Luak Jelebu mewakili semua Datuk-Datuk Lembaga Delapan, Ibu Soko, Orang Besar dan Waris Negeri.

Ketika berucap pada majlis itu, Maarof berkata segala polemik adat Jelebu yang timbul sebelum ini perlu dijadikan kenangan dan pengajaran untuk diceritakan kepada anak cucu cicit supaya tidak lagi mengulangi fitnah dan adu domba berdasarkan andaian dan prasangka tidak benar.

Iklan

"Terjadinya pelantikan Undang Luak Jelebu ke-16 adalah mengikut aturan adat Jelebu seperti diamalkan penyandang pusaka sebelum ini dan kini semua kekusutan dan kecelaruan sudah terlerai.

"Kami bersama Lembaga Delapan Luak Jelebu serta sekalian waris-waris negeri membaca dan menyelidiki segala aturan adat Jelebu dengan penuh tertib dan adab," katanya.

Maarof berkata, beliau menjadi pemerintah Jelebu disebabkan keteguhan Lembaga Delapan Luak Jelebu dan waris negeri berpegang pada adat dan agama Islam dan bukannya melalui cara yang salah seperti cuba diuar-uarkan pihak tertentu sebelum ini.

Kira-kira 100 penduduk Jelebu turut sama memeriahkan Adat Istiadat Sembah Taat Setia dan Menjunjung Kebawah Kaus Undang Luak Jelebu baharu itu.

Maarof diumumkan sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 dalam satu istiadat pada 20 Disember 2018 bagi menggantikan Undang Luak Jelebu ke-15, Datuk Musa Abdul Wahab yang meninggal dunia pada 11 September 2014.

Pada 20 Februari lalu, para Dato' Lembaga Luak Jelebu terkejut dengan penyebaran surat daripada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan yang menerima pengisytiharan pelantikan Maarof sebagai Undang Luak Jelebu ke-16.

Berikutan itu, mereka membuat bantahan dan akan mengemukakan memorandum kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Semalam, bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, pelantikan Maarof sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 adalah muktamad kerana selaras dengan peruntukan pada Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Undang Luak Jelebu adalah Pembesar Memerintah bagi Negeri Sembilan dan memerintah negeri ini bersama Yang di-Pertuan Besar, Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Johol, Undang Luak Rembau dan Tunku Besar Tampin. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Pelantikan Maarof sebagai Undang Luak Jelebu Ke-16 muktamad: Rais