KLANG - Seorang pekerja warganegara Myanmar maut selepas terjatuh dari tingkat enam sebuah kilang di sini ketika mengecat laluan besi dalam kejadian pada Ahad.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor, Bahrudin Mamat berkata, mangsa berumur sekitar 60 tahun itu ditugaskan untuk mengecat laluan besi di tingkat enam kilang terbabit yang sedang dalam kerja ubah suai dan naik taraf salah satu bahagian pengeluarannya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai tergelincir dari platform tersebut yang tidak diadang dari ketinggian 15 meter ke atas lantai kilang.
"Siasatan juga mendapati mangsa tidak dibekalkan dengan peralatan perlindungan diri yang sesuai bagi tujuan bekerja di tempat tersebut.
"Mangsa disahkan mengalami cedera parah dan maut di tempat kejadian oleh paramedik dari Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, Bahrudin berkata, JKKP Selangor mengeluarkan satu Notis Larangan Serta-Merta bagi menghentikan semua kerja yang berkaitan berikutan insiden tersebut.
Katanya, satu Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu dikeluarkan bagi menghentikan semua aktiviti pengubahsuaian dan pembinaan yang berkaitan serta kawasan kemalangan disita bagi tujuan siasatan lanjut.
Sementara itu, pihaknya mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta Akta Kilang dan Jentera 1967.
"Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dengan mengenal pasti bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti.
"Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” katanya.