GEORGE TOWN - Pemuda Parti Gerakan Pulau Pinang pada Rabu membuat laporan polis terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kerana didakwa mengingkari peraturan kuarantin kendiri.
Jurucakap Pemuda Gerakan negeri, Mohd Aswaad Jaafar mempersoalkan kenapa Ahli Parlimen Bagan itu boleh hadir ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 2 September lepas, sedangkan beliau diarah menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.
Iklan
Iklan
"Menurut peguam beliau, Guan Eng perlu menjalani kuarantin kendiri pada 1 hingga 10 September dan tidak dapat menghadiri perbicaraan di mahkamah hari ini tapi mengapa beliau boleh menghadiri Sidang DUN pada 2 September lalu?"
"Kami membuat satu laporan polis berkenaan isu ini untuk meminta pihak berkuasa menyiasat perkara ini kerana ia seumpama beliau tidak menghormati mahkamah," katanya kepada wartawan selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Timur Laut di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan laporan polis itu dan berkata polis akan menjalankan siasatan lanjut.
Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dalam perbicaraan kes empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama, memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya itu telah diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 September depan. - Bernama