KBS kaji kaedah anjur Sukma tanpa penonton

Iklan
Ahmad Faizal

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sedang mengkaji kaedah penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) termasuk tanpa kehadiran penonton bagi memastikan kelancaran dan keselamatan temasya berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, mengambil contoh penganjuran Sukan Olimpik di Tokyo baru-baru ini, antara aspek turut dilihat dalam menentukan kaedah penganjuran termasuk penglibatan atlet muda bawah 17 tahun yang belum lagi divaksinasi.

Iklan
Iklan

"Sukma akan melibatkan (ramai) atlet berumur bawah 17 tahun... sebab Sukma adalah tempat kita mencari bakat. Jadi, inilah antara perkara yang perlu kita fikirkan (kaedah penganjuran),” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin pandu lalu OKU Sentral di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru, di sini pada Rabu.

Turut hadir Pegawai Daerah Johor Bahru Datuk Abdul Rahman Salleh dan Ahli Dewan Negara Senator Datuk Ras Adiba Radzi, yang juga Presiden Persatuan OKU Sentral.

Iklan

Menurut Ahmad Faizal, isu sama turut berlaku apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pembatalan Piala Presiden dan Piala Belia minggu lepas dengan mengambil kira penilaian risiko Covid-19.

"Kita agak sukar mengawal para pemain yang jumlahnya begitu besar setiap skuad (sekali gus) untuk (menguruskan) (atau) mengadakan gelembung. Keduanya, kebanyakan pemain masih belum divaksin...jadi kita bertanggungjawab kepada keselamatan kesihatan mereka.

Iklan

"Maka, FAM membuat keputusan (yang) pada pandangan saya amat bertanggungjawab. Jadi sama seperti Sukma,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, beliau akan berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengenai penganjuran Sukma Johor yang sepatutnya berlangsung tahun lepas.

"Saya lihat persiapan negeri Johor begitu teliti. Semua venue telah siap, malah, saya nampak penyelenggaraan venue-venue ini dibuat dengan baik. (Dan) saya percaya negeri Johor bersedia untuk menganjurkan (Sukma),” katanya.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berakhir semalam, Onn Hafiz berkata, Johor masih menunggu keputusan sama ada Sukma Johor 2020 yang dibatalkan akibat wabak Covid-19, boleh dianjurkan pada tahun hadapan, dan keputusan berkenaan dijangka diputuskan Jawatankuasa Tertinggi Sukma dalam masa terdekat.

Sukma Johor 2020, yang sepatutnya berlangsung pada 6 hingga 14 Mac 2021 dan Para Sukma pada 5 hingga 10 April dibatalkan sekali lagi berikutan peningkatan kes Covid-19 tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata, tindakan atlet menyalahgunakan bahan terlarang bagi tujuan meningkatkan prestasi adalah tidak bertanggungjawab malah tidak mempunyai semangat kesukanan.

"Kita amat tidak bersetuju dengan tindakan atlet menyalahgunakan bahan terlarang untuk meningkatkan prestasi dan jika terbukti atlet itu menyalahgunakan pengambilan bahan terlarangn tindakan akan dikenakan oleh persatuan,” katanya.

Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) Azura Abidin pada Ahad lepas mengesahkan dua atlet negara, yang menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN), didapati positif penggunaan bahan terlarang pada ujian yang dilakukan Jun.

Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) kemudiannya turut mengesahkan bahawa dua atlet yang dilaporkan positif penggunaan bahan terlarang adalah atlet angkat berat dan kedua-dua mereka telah digantung daripada sebarang aktiviti, latihan dan kegiatan sukan angkat berat Malaysia sehingga proses pendengaran dan hukuman dijalankan.

Sementara itu, Ahmad Faizal berharap cadangan pembukaan semula gimnasium di seluruh negara dapat dipertimbangkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ketat memandangkan banyak operator gimnasium, jurulatih serta orang awam termasuk atlet terkesan berikutan penutupan gimnasium.

"Kita berharap cadangan ini mendapat sokongan daripada pihak lain untuk memungkinkan operator gimnasium di seluruh negara dapat bernafas setelah perniagaan mereka dibuka semula. Ramai yang kata ini (buka gimnasium) bukan keperluan dan hanya cara hidup tetapi bezanya orang yang duduk panggung wayang dengan orang ke gimnasium, orang ke gimnasium (lebih) menitikberatkan kesihatan," katanya. -Bernama