HERAT - Sekurang-kurangnya dua terbunuh, manakala lapan lagi cedera dalam kejadian protes di bandar Herat, barat Afghanistan pada Selasa.
Insiden itu berlaku ketika siri protes menuntut ‘kebebasan’ diadakan di seluruh negara di tengah-tengah kebimbangan pemerintah Taliban mungkin kembali melaksanakan pemerintahan ultrakonservatif seperti sebelum ini.
Di Kabul, anggota Taliban dilaporkan terpaksa melepaskan tembakan ke udara untuk menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan yang membantah penglibatan Pakistan dalam hal ehwal dalaman negara tersebut.
Kira-kira 70 peserta protes kebanyakannya wanita berhimpun di luar Kedutaan Pakistan sambil melaungkan slogan menolak campur tangan Islamabad.
Salah seorang penunjuk perasaan, Shakib Ghori yang berarak menuju ke Istana Presiden berkata, protes berkenaan diadakan bagi menuntut ‘kebebasan’ dan bukannya untuk menentang Taliban.
"Kami hanya meminta hak kami. Sistem politik yang menghormati hak rakyat dan menghentikan campur tangan Pakistan secara berterusan,” katanya.
Sementara itu, petugas media memaklumkan mereka turut dilarang membuat liputan demonstrasi tersebut, malah stesen penyiar, TOLOnews mengesahkan penahanan jurugambar mereka gara-gara merakamkan protes berkenaan.
Pada Selasa, jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid memberi amaran terhadap sebarang cubaan yang mahu mencabar pemerintahan mereka selepas gerakan itu menawan Lembah Panjshir sekali gus menguasai kesemua 34 wilayah di seluruh negara.
"Tiada pihak dibenarkan untuk mencetuskan huru-hara,” tegasnya. - Agensi