India enggan kongsi bukti serangan udara

Iklan
Serangan udara itu didakwa mengenai kawasan berbukit lapang di Balakot.

NEW DELHI - INDIA. Seorang menteri kanan di India, semalam menyatakan kerajaan tidak akan berkongsi bukti yang mendakwa 'sejumlah besar' militan terbunuh dalam serangan udara menyasarkan pangkalan kumpulan itu di Pakistan pada Selasa lalu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas beberapa pihak mula mempersoalkan kesahihan tentang operasi tersebut yang telah memburukkan lagi konflik antara kedua-dua negara terbabit.

Iklan
Iklan

Keraguan yang semakin meningkat menyebabkan pemimpin pembangkang telah meminta kerajaan berkongsi bukti tentang serangan itu.

Tetapi, Menteri Kewangan, Arun Jaitley memberitahu kononnya tiada agensi keselamatan yang berkongsi butiran operasi ketenteraan mereka.

Iklan

"Orang yang mahu butiran operasi itu didedahkan kepada umum sememangnya tidak memahami sistem tersebut," ujarnya.

Sebelum ini, tentera udara memaklumkan pemimpin politik berhak untuk memutuskan bagaimana mahu mendedahkan bukti serangan di Balakot tersebut.

Iklan

Selain itu, beliau juga menolak dakwaan ketegangan makin meningkat itu ada kaitan dengan politik domestik menjelang pilihan raya umum pada Mei depan.

Krisis itu masih berterusan selepas tentera India dan Pakistan dilaporkan berbalas tembakan di Garisan Kawalan (LoC) yang bertindak sebagai sempadan de facto di wilayah Kashmir.

Permusuhan meningkat selepas kejadian pengeboman berani mati yang menyebabkan sekurang-kurangnya 40 anggota separa tentera terkorban di Kashmir pada 14 Februari lalu.

Susulan itu, India menuduh Pakistan melindungi militan, Jaish-e-Mohammad (JeM) yang didakwa mendalangi serangan berani mati tersebut.

Selasa lalu, jet pejuang India mendakwa ia melancarkan serangan udara menyasarkan kem militan di Balakot.

Islamabad menyatakan operasi itu bagaimanapun hanya mengenai kawasan bukit lapang dan tidak mencederakan sesiapa malah penduduk sekitar turut mengesahkan dakwaan terbabit. - Agensi