Rakyat cuma pandang rasuah sebagai jenayah ala kadar

Iklan
Stigma masyarakat masih beranggapan perbuatan itu tidak menampakkan ia sesuatu yang kejam berbanding membunuh, merogol atau mencuri. Gambar kecil; Dr Aspalella

SHAH ALAM - Rakyat di negara ini memandang rasuah sebagai jenayah ala kadar sedangkan ia adalah perbuatan kejam dan berimpak negatif.

Pengarah Pusat Penyelidikan Perundangan dan Keadilan di Pusat Pengajian Undang-Undang Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Aspalella A Rahman berkata, stigma masyarakat masih beranggapan perbuatan itu tidak menampakkan ia sesuatu yang kejam berbanding membunuh, merogol atau mencuri.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, ia juga boleh dikatakan jenayah terselindung kerana ada 'tangan ghaib' yang menutup kesalahan itu.

"Contoh, aktiviti cetak rompak, ramai yang terlibat dan tidak nampak bahawa ia sebenarnya adalah perbuatan mencuri hak orang lain.

Iklan

"Sebenarnya dari sudut lain dengan adanya rasuah menyebabkan jenayah lain seperti pengedaran dadah, pembalakan haram dan pemerdagangan manusia sukar dihapuskan.

"Semua jenayah ini melibatkan rasuah sehingga penguatkuasaan dan undang-undang gagal untuk menangkap dan mengadili mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Aspalella berkata, situasi itu yang menyebabkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2020 jatuh kedudukan 57 berbanding tangga 51 pada 2019.

"Data ini seolah-olah mengiyakan keadaan rasuah di negara ini agak mendukacitakan," katanya.

Menurutnya, sejak negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melakukan tangkapan secara besar-besaran.

"Boleh dikatakan kebanyakan ahli politik terlibat kes rasuah dan penggubahan wang haram apatah lagi pegawai kerajaan.

"Apabila kepimpinan peringkat tertinggi amalkan rasuah apatah lagi peringkat bawahan atau mungkin kerana kurangnya sifat integriti dalam diri serta tahap gaji tidak cukup.

"Saya pernah terbaca ada pihak yang mengeluarkan kenyataan pegawai kerajaan di Malaysia sanggup menerima rasuah walaupun jumlahnya tidak seberapa," katanya.

Justeru, beliau menyokong kempen Rasuah Busters yang menjadi platform terbaik untuk mendidik masyarakat bahawa rasuah itu perbuatan keji.

"Diharapkan semoga setiap maklumat dipaparkan berjaya menjentik hati masyarakat bahawa perbuatan ini salah dan memudaratkan.

"Kena tanam dalam diri anak-anak bahawa rasuah membinasakan hidup, keluarga, negara dan agama," katanya.