Lanjutkan operasi stesen minyak

Iklan
Pengusaha stesen minyak seluruh negara memohon Majlis Keselamatan Negara memanjangkan bermula jam 6 pagi hingga 10 malam seperti diberikan kepada premis menjual makanan, namun industri runcit petroleum melalui stesen minyak hanya dapat beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam.

KETIKA negeri-negeri lain berganjak ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), Merak Jalanan yang ketika ini bertugas di Selangor masih kekal di fasa pertama dan bergelut dengan tugasan di pejabat dan aktiviti harian.

Ketika sibuk untuk mengimbangi urusan kerja dan peribadi, ada beberapa kali Merak Jalanan terlupa hendak mengisi minyak kereta sebelum jam 8 malam.

Iklan
Iklan

Kelmarin, nyaris sahaja Merak Jalanan terpaksa menolak kereta yang kehabisan petrol. Aduhai, Tuhan sahaja yang tahu perasaan Merak Jalanan masa itu. Dalam keadaan jalan yang sunyi dan gelap, mujurlah sempat sampai ke rumah.

Risau juga kalau-kalau ada jembalang atau hantu berkepala hitam datang menerjah Merak Jalanan di tepi jalan. Mujurlah Merak Jalanan dijauhkan daripada kesusahan.

Iklan

Sebenarnya pada hari kejadian, Merak Jalanan singgah di sebuah stesen minyak berhampiran kawasan perumahan namun, petugas stesen itu bukan sahaja tidak mengendahkan rayuan untuk mengisi petrol, malah dimarahi kita pula. Geram!

Sudahlah Merak Jalanan bergegas ke sana sini, dengan mesyuaratlah, diskusilah, membuat laporan, merancang kerja mingguan dan banyak lagi bebanan tugasan lain, jadi pula begini.

Iklan

Agaknya sampai bila waktu operasi stesen minyak di negeri fasa pertama akan kekal jam 8 malam. Tempoh operasi ini sangatlah memberi tekanan dan menyusahkan pengguna jalan raya khususnya bagi mereka yang bekerja syif seperti Merak Jalanan, hendak merancang apa pun semuanya mencabar.

Sebelum ini, pengusaha stesen minyak seluruh negara memohon Majlis Keselamatan Negara memanjangkan bermula jam 6 pagi hingga 10 malam seperti diberikan kepada premis menjual makanan, namun industri runcit petroleum melalui stesen minyak hanya dapat beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam.

Merak Jalanan berharap kerajaan dapat mempertimbang cadangan melanjutkan waktu operasi stesen minyak. Pastinya ramai pengguna jalan raya akan berasa lega.