SUNGAI PETANI - Taman tema mini, Berangan Aqua Park yang dibina berlandskapkan suasana desa di Kampung Permatang Berangan di sini mampu menerima kira-kira 50,000 pengunjung setahun.
Namun, suasana suram akibat penularan Covid-19 dan sekatan pergerakan bagi mengekang penularan wabak, selain prosedur operasi standard (SOP) yang ketat menyebabkan jumlah pengunjung terpaksa dihadkan.
Bagaimanapun, kelonggaran yang diberikan kerajaan terhadap pusat rekreasi dan riadah menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN) sedikit sebanyak telah memberi kelegaan dan nafas baharu buat pemain industri pelancongan.
Pengerusi Kumpulan Berangan, Badrulhisham Bahasar berkata, Berangan Aqua Park yang siap dibina tiga bulan lalu telah bersedia menerima pengunjung bulan ini.
Menurutnya, taman tema mini itu siap pada Mei lalu, namun disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau akur menangguhkan pembukaan operasi.
"Bimbang dengan penularan wabak dan patuh SOP, kami mengehadkan kapasiti pengunjung sebanyak 50 peratus, selain syarat lain yang perlu ditekankan,” katanya.
Jelas beliau, kapasiti pengunjung boleh mencecah antara 100 hingga 130 orang sehari tetapi pada peringkat permulaan dan ketika masih dalam suasana pandemik Covid-19, hanya 30 hingga 50 orang pengunjung sahaja dibenarkan dalam satu-satu masa.
Menurutnya, pemulihan ekonomi khususnya melibatkan sektor pelancongan dan rekreasi dalam negara dilihat sebagai peluang yang baik kepada pembukaan taman tema mini tersebut.
"Berkonsepkan suasana desa dengan kedudukan lokasinya di kawasan perkampungan dan bersebelahan sawah padi, ia dilihat berpotensi menarik perhatian pengunjung.
"Buat masa ini kita hanya membenarkan pengunjung dalam daerah Kuala Muda sahaja kerana Kedah masih dikategorikan di bawah PPN Fasa 1,” katanya.
Dalam pada itu, Badrulhisham yakin industri pelancongan di Malaysia mampu pulih sekiranya lebih ramai penduduk divaksinasi.
"Ia membolehkan rakyat memilih destinasi pelancongan setempat sebagai ruang untuk bercuti bersama keluarga sekalipun masih dalam keadaan berjaga-jaga susulan pergerakan ke luar negara masih dihadkan.
"Antara syarat yang ditekankan adalah perlu memenuhi dua dos suntikan vaksin Covid-19, pematuhan SOP oleh pengunjung dan penyedia perkhidmatan serta langkah-langkah lain dalam aspek kesihatan dan keselamatan,” katanya.
Jelas Badrulhisham, sesuai dengan tema desa dan lokasinya di luar bandar, pihaknya hanya menetapkan bayaran masuk sebanyak RM8 seorang bagi kanak-kanak berumur empat tahun ke atas.
Bercerita lebih lanjut, menurut Badrulhisham, perancangan membina taman tema mini itu bermula pada tahun 2019 setelah chalet Berangan Pool Cottage yang terletak bersebelahan siap pada 2018.
"Ketika itu terfikir untuk bina satu kemudahan buat penduduk setempat merasai percutian dan boleh dinikmati semua lapisan masyarakat.
"Jadi, kita sediakan lokasi riadah yang pasti memukau pengunjung tetapi dengan harga berpatutan,” jelasnya.
Beliau turut berpendapat, pembukaan taman tema mini itu sebenarnya membuka ruang untuk menjana ekonomi setempat, sekali gus membuka peluang pekerjaan memandangkan kebanyakan pekerja terdiri daripada penduduk tempatan.
"Berangan Aqua Park dibuka bermula jam 10 pagi hingga 6 petang setiap hari kecuali Selasa,” katanya.
Ditanya perancangan seterusnya, menurut Badrulhisham, hasrat awal beliau sebenarnya mahu menjadikan lokasi berkenaan sebagai pusat sehenti.