'Jangan pinggir penyerang tempatan'- Safee

Iklan
Safee Sali

BEKAS penyerang kebangsaan, Safee Sali meminta Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mencari mekanisme terbaik dalam usaha memastikan penyerang tempatan tidak dipinggirkan dalam kancah saingan Liga Super.

Menurutnya, kehadiran dan peluang yang terlalu luas diberikan kepada penyerang import dalam beberapa musim kebelakangan ini telah terbukti menjejaskan peluang penyerang tempatan.

Iklan
Iklan

Kata Safee, bukti paling ketara sudah tentu dengan tiada peluang bermain apabila pasukan di Liga Super lebih sudi memberikan peluang kepada penyerang import berbanding penyerang tempatan membuktikan keupayaan mereka.

"Saya mengharapkan MFL boleh buat kajian tentang perkara ini dan cari cara terbaik untuk melimitkan pemain import. Bagaimana caranya itu terpulanglah kepada MFL.

Iklan

"Saya risau dengan keadaan semasa peluang kepada penyerang tempatan untuk beraksi malah saya melihat situasi sekarang sangat parah terutama untuk melihat siapa bakal menjadi penyerang kepada pasukan Harimau Malaya," katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Bisa penyerang import dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) sememangnya sukar untuk disangkal apabila mereka terus mendominasi carta penjaring terbanyak di Liga Super sejak tahun 2012.

Iklan

Malah, pada tahun ini, penyerang Selangor, Ifedayo Olusegun telah memecahkan rekod penjaring terbanyak Liga Super dengan 25 gol mengatasi rekod bekas pemain Kelantan dan Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Mohamad Ghaddar dengan 23 gol pada 2017.

Ia sekali gus dikhuatiri akan membuatkan lebih banyak pasukan mendapatkan pemain penyerang berkualiti untuk memastikan mereka dapat mengejar kejuaraan liga pada masa akan datang dan meminggirkan peluang pemain tempatan.

Mengulas lanjut, Safee juga percaya penyerang import telah membunuh karier penyerang tempatan dengan hanya PJ City yang sanggup menggunakan kesemua pemain tempatan dalam pasukan tersebut.

"Untuk menjangkakan siapa yang bakal menjadi penyerang terbaik negara, saya belum nampak sebab semua tidak diberi peluang dan tidak diberi minit bermain dengan secukupnya dalam pasukan.

"Mereka hanya boleh score di Liga Premier. Jadi, ia sangat membimbangkan ketika ini dalam usaha kita nak bentuk penyerang berkualiti, tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kerana peluang itu telah diambil oleh pemain import.

"Malah, dengan ketiadaan Piala Presiden dan Piala Belia yang telah dibatalkan, itu turut merisaukan saya kerana pemain pelapis tidak mendapat aksi yang kompetitif," katanya.