Calon PH tak menyerlah punca BN menang di Semenyih

Iklan
Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat tangan calon PH, Muhammad Aiman Zanali ketika siri kempen PH di Semenyih, baru-baru ini. - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

SHAH ALAM - Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengakui, faktor calon PH antara penyumbang kepada kemenangan BN dalam PRK DUN Semenyih.

Katanya, Muhammad Aiman Zainali dilihat tenggelam di mata pengundi menyebabkan calon BN, Zakaria Hanafi lebih menyerlah.

Iklan
Iklan

"Faktor calon merupakan signifikan untuk menyumbang faktor wow bagi para pengundi.

ARTIKEL BERKAITAN: Kemenangan BN, kemenangan rakyat

Iklan

"Dalam melihat faktor calon, tidak dinafikan kemenangan calon BN di Semenyih bukan kerana faktor wownya tetapi ia terserlah kerana tenggelamnya calon PH dan malap bintangnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

BN merampas kembali kerusi DUN Semenyih apabila Zakaria menang dengan meraih 19,780 undi, menewaskan tiga lagi pencabarnya.

Iklan

Beliau menewaskan calon PH Mohammad Aiman yang memperoleh 17,866 undi, manakala calon PSM, Nik Aziz Afiq Abdul 847 undi dan calon Bebas, Kuan Chee Heng memperoleh 725 undi. Mengulas lanjut, Mujahid berkata, kemenangan BN juga disebabkan oleh serangan memperkecilkan prestasi PH.

"Isu kos sara hidup dan bebanan kos dilihat sebagai kegagalan PH. Walhal, isu ini dulu menjadi bahan kempen PH dalam manifestonya bergelut dengan BN di PRU lalu.

"PH punya waktu untuk meyakinkan rakyat bahawa usaha mengurangkan kos bebanan hidup ada yang boleh dibuat segera, ada yang perlu masa dan ada juga yang perlu kajian secara terperinci sebelum membuat sebarang keputusan. Tetapi perkara ini tidak dirasai," katanya.

Tambahnya, penguasaan naratif Melayu Islam oleh UMNO dan Pas kelihatan dominan walaupun ia dilihat tidak semestinya baik kepada mereka.

"UMNO dan Pas berleluasa mengeksploitasi isu Tabung Haji, Hina Nabi dan dominasi DAP," katanya.

Jelasnya, cabaran bagi PH dalam PRK Rantau nanti ialah mereka tetap akan bergelut untuk mengatasi undi Melayu dan meningkatkannya sebanyak 20 peratus selepas hilang dalam dua PRK sebelum ini.

"Dua pendekatan iaitu tentang kos sara hidup dan retorik Islam Melayu akan menjadi asas strategik yang perlu ditangani secara berkesan dalam kempen di PRK Rantau nanti," katanya.