SHAH ALAM - Keputusan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) membuktikan kerajaan Selangor peka kepada saranan dan tuntutan rakyat.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Halimey Abu Bakar menyokong penuh keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang memutuskan tiga perkara prorakyat berhubung isu HSKLU.
Menurutnya, 42.1 hektar daripada jumlah keseluruhan 536.6 hektar HSKLU kekal dinyahwarta akan melengkapkan pemberimilikan tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru yang telah dipindahkan dari penempatan asal mereka pada 1994 untuk tujuan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Ini menunjukkan iltizam kerajaan negeri membantu menyelesaikan isu yang tertangguh sejak tahun 2006.
"Keputusan mempertimbangkan sebahagian kecil lagi kawasan kekal nyahwarta untuk tujuan pertimbangan jajaran East Coast Rail Link (ECRL) bakal memberi lebih banyak faedah kepada rakyat di sepanjang jajaran rel berkenaan.
"Tindakan menghentikan cadangan pelan pembangunan ke atas kawasan tersebut dan membatalkan pemberimilikan tanah kepada syarikat terbabit adalah satu langkah tepat yangmembuktikan kerajaan negeri sangat peka dengan tuntutan serta mendengar suara rakyat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pada masa sama, katanya, kawasan gantian yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) seluas 581 hektar di Sungai Panjang, Ampang Pechah dan Bukit Broga juga akan kekal statusnya sebagai HSK.
"Ini adalah komitmen kerajaan negeri demi kelestarian alam sekitar," katanya.
Halimey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia turut berpuas hati dengan prosedur penyahwartaan sebelum ini yang telah mengikuti segala prosedur dan tatacara dinyatakan mengikut lunas undang-undang.
"Namun sebagai sebuah kerajaan yang berteras prinsip akauntabiliti, Sidang Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) yang bakal diadakan oleh kerajaan negeri adalah satu langkah sangat tepat bagi menjawab sebarang isu-isu yang dibangkitkan terkait penyahwartaan sebelum ini," katanya.
Penyahwartaan HSKLU yang dilakukan pada Mei lalu menimbulkan pelbagai kritikan sebelum ini terutamanya dalam kalangan persatuan pencinta alam sekitar, orang awam dan pimpinan PKR sendiri.
Bagaimanapun, keputusan yang dibuat kerajaan Selangor pada Rabu dinanti-nantikan oleh semua pihak yang mahu melihat khazanah alam sekitar Selangor terus terpelihara.
ARTIKEL BERKAITAN: Selangor wartakan semula HSKLU