Kembali ke tangga kedua, lonjak motivasi KDA FC

Iklan
Aidil Sharin memuji kebangkitan pemain-pemainnya yang berjaya mengikat UiTM FC 3-3 selepas ketinggalan kepada pasukan tersebut di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Rabu. - Foto Kedah Darul Aman FC

ALOR SETAR - Kedah Darul Aman (KDA) FC memperoleh motivasi terbaik untuk mengharungi perlawanan akhir Liga Super 2021 selepas kembali ke tangga kedua hasil keputusan seri 3-3 menentang UiTM FC di Stadium Darul Aman, di sini pada Rabu.

Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata, beliau menyifatkan perlawanan seterusnya bertemu Melaka United FC bagaikan perlawanan akhir dan menggesa pemain-pemainnya memberikan tumpuan penuh pada aksi tersebut di Alor Setar pada 12 September ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dua pesaing pasukan tersebut iaitu Penang FC dan Terengganu FC (TFC) pula akan bertemu di Stadium Bandaraya sekali gus mampu memberikan kelebihan kepada hijau kuning untuk merebut gelaran naib juara liga super musim 2021.

"Bagi perlawanan seterusnya bertemu Melaka United adalah umpama perlawanan akhir. Kedudukan sekarang yang kembali berada di tangga kedua adalah satu perkara positif buat pemain-pemain KDA FC.

Iklan

"Pada perlawanan akhir liga, sudah tentu saya tidak mahu kita gagal mendapatkan mata dan pemain-pemain KDA FC perlu fokus pada aksi menentang Melaka United. Penang FC pula akan bertemu TFC, mungkin akan ada pasukan yang keciciran mata atau mungkin perlawanan itu berakhir dengan keputusan seri," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada Rabu.

Mengulas lanjut, Aidil Sharin berkata, beliau mahu pemain-pemainnya memburu kemenangan pada aksi akhir bagi menjamin kedudukan mereka di tangga kedua liga super selepas kini mereka terikat 40 mata sama dengan Penang FC di tangga ketiga selepas 21 perlawanan dan dibezakan dengan perbezaan jaringan sahaja.

Iklan

TFC yang kini berada di tangga keempat dengan 37 mata selepas 21 perlawanan juga mahu memburu kemenangan pada perlawanan akhir liga bagi membaiki kedudukan liga mereka pada musim ini.

Menurut Aidil Sharin, pada aksi bertemu UiTM FC, beliau mengakui pemain-pemainnya hilang fokus akibat keletihan selepas beraksi lapan perlawanan dalam tempoh sebulan sehingga membenarkan lawan berjaya menjaringkan tiga gol di Darul Aman.

"Kita sebenarnya mempunyai banyak peluang pada separuh masa pertama tapi gagal memanfaatkan sebaik mungkin. Sebaliknya pelawat berjaya memanfaatkan setiap peluang untuk menghasilkan jaringan gol.

"Namun, kita berjaya kembali pada separuh masa kedua untuk mengikat lawan. Lebih baik dapat satu mata daripada gagal. Sebenarnya, bukan mudah untuk mendapatkan dua gol dalam tempoh 20 minit untuk mengikat 3-3 selepas ketinggalan 3-1, saya perlu berikan pujian kepada pemain-pemain saya," ujarnya.

Sementara itu, pengendali UiTM FC, Mohd Reduan Abdullah berkata, beliau akur dengan kebangkitan tuan rumah yang berjaya menafikan usaha mereka untuk meraih tiga mata penuh di laman lawan.

Menurutnya, sumbangan dan usaha yang diberikan oleh pemain-pemainnya perlu dipuji kerana berjaya menunjukkan mutu permainan yang baik biarpun berdepan dengan sebuah pasukan yang besar seperti KDA FC.