KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan inisiatif vaksinasi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan, kata menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Menerusi kenyataannya hari ini, beliau berkata usaha itu dapat membantu mencapai imuniti kelompok Keluarga Malaysia dengan lebih meluas.
Justeru, Rina menyeru ibu bapa dan penjaga agar terus meyakinkan remaja bahawa vaksinasi adalah satu bentuk perlindungan kesihatan yang selamat.
"Teruskan memberi advokasi dan kefahaman tentang Covid-19 kepada kanak-kanak. Saya berharap ibu bapa sentiasa cakna, berwaspada dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP), dalam menangani Covid-19 dalam melindungi keluarga masing-masing.
"Ibu bapa dan penjaga mestilah mempunyai kesedaran dan mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat mengenai Covid-19, daripada sumber yang mempunyai kredibiliti untuk membendung berita palsu mengenai Covid-19,” Katanya.
Selasa lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata seramai 76,400 remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Sarawak, menjadi kumpulan pertama kategori umur itu menerima vaksin Covid-19 di negara ini.
Menyambut baik inisiatif itu, Rina berkata, ia merupakan satu indikator dalam membuktikan kesungguhan dan komitmen kerajaan yang tidak pernah meminggirkan kepentingan terbaik bagi golongan itu. - Bernama