KOTA BHARU – Pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) melibatkan UMNO dan Pas dalam kerjasama Muafakat Nasional (MN) masih belum dimuktamadkan walaupun secara dasarnya sudah mencapai tahap 70 peratus selesai.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, jumlah 70 peratus tersebut hanyalah melibatkan beberapa dasar sahaja, namun masih ada beberapa skop yang masih belum diselesaikan secara keseluruhannya.
"Secara dasarnya, mana-mana kerusi yang Pas menang, Pas akan bertanding manakala kerusi dimenangi UMNO maka UMNO bertanding, dari segi itu semua dah selesai. Cuma secara rasminya, berapa kerusi dan kerusi mana yang masih kosong itu masih belum diptusakan.
"Itu belum lagi melibatkan kerusi yang UMNO dan Pas yang tidak menang, belum selesai lagi. Ada lagi beberapa perkara yang perlu kita putuskan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Suri Mithali di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, Pas masih berharap wujud keserasian antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi memastikan pembahagian kerusi dan persediaan untuk berdepan PRU15 kali ini lebih mantap.
Katanya, UMNO seharusnya melihat perkara ini dengan lebih jauh malah beberapa kajian yang dibuat juga telah membuktikan mereka tidak boleh menubuhkan satu kerajaan yang ‘gagah’ jika hanya melibatkan Pas dan UMNO semata-mata.
Beliau juga memberitahu, demi bangsa Melayu, ketiga-tiga parti itu perlu berjuang bersama dan semua pihak perlu ambil kira perkara tersebut memandangkan Pas, UMNO dan Bersatu sebenarnya mempunyai kelemahan serta kelebihan yang masing-masing akan kuat apabila bergabung.
"Kita semua ada kelemahan, kalau duduk sekali, kelemahan ini boleh ditampung masing-masing. Apa yang penting kita bekerja untuk rakyat,” katanya.