Anak menangis lihat van jenazah hantar ayah 'pulang'

Iklan
Tular video Zaini sedang menenangkan anak-anaknya yang menangis ketika van jenazah melalui rumah mereka di Taman Krubong Jaya.

MELAKA - Seorang wanita terpaksa menenangkan anaknya yang menangis setelah melihat van jenazah yang membawa arwah suaminya melalui rumah mereka di Taman Krubong Jaya, pada Isnin lalu.

Suasana hiba itu dirakam seorang jiran mereka sehingga tular dan mendapat pelbagai reaksi warganet yang turut menyatakan kesedihan terhadap nasib tujuh beranak itu.

Iklan
Iklan

Wanita itu, Zaini Kaus, 44, berkata, suaminya, Md Isa Mohd Noor, 43 yang bekerja sebagai pemandu lori sawit, dimasukkan ke Hospital Melaka pada Jumaat lalu selepas disahkan positif Covid-19 setelah membuat ujian saringan Covid-19 di sebuah klinik swasta pada Rabu kerana mengalami demam.

Menurutnya, suami pergi tanpa sebarang perubahan malah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu suaminya yang disifatkan seorang penyayang itu banyak meluangkan masa berjemaah di surau berdekatan sebelum memulakan kerja pada akhir bulan lalu.

Iklan

Namun katanya, siapalah dia untuk menolak takdir, apabila pada Ahad, pihak hospital memaklumkan paras oksigen suaminya semakin menurun sehingga 40 peratus dan perlu ditidurkan sebelum menerima berita pemergiaan suaminya buat selama-lamanya keeseokan hari.

"Kami sempat buat 'video call' dan lihat keadaan suami yang ceria di hospital dan dia tidak menunjukkan keadaannya yang semakin lemah atau semakin kronik.

Iklan

"Namun ALLAH SWT lebih sayangkan dia (suami) dan kami sekeluarga reda dengan ujian ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Krubong Jaya di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Zaini yang masih memakai gelang putih kerana menjadi kontak rapat kepada suaminya berkata, hasil ujian saringan mereka sekeluarga bagaimanapun negatif dan setakat ini mereka terharu terhadap keprihatinan pelbagai pihak yang menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban memandangkan dia tidak bekerja selain menerima kata-kata semangat termasuk keluarga dan kenalan.

Nordanisha Zara menunjukkan gambar bapa mereka yang meninggal dunia kerana Covid-19 pada Isnin lalu.

Menurutnya, ibarat patah sayap apabila kehilangan suami yang merupakan tempat bergantung dan mengadu, malah perkahwinan mereka selama 11 tahun bahagia serta dikurniakan enam orang anak berusia lima hingga 11 tahun.

Katanya, biarpun tidak mempunyai lesen memandu untuk bergerak namun dia akan lebih berdikari dan tabah membesarkan anak-anaknya walaupun tanpa insan bernama suami disisi.

"Sebenarnya suami ada merancang untuk mengambil vaksin dan telah mendaftarkan di aplikasi MySejahtera, namun tidak kesampaian dan selepas potong gelang saya tidak akan melepaskan peluang untuk ambil vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Krubong.

"Ingatlah, Covid-19 bukan main-main, tapi realiti dan bila ada ahli keluarga yang dijangkiti sehingga maut, itu yang menyedihkan dan menyakitkan," katanya sebak.

Sementara itu, anak kedua yang rapat dengan arwah, Nordanisha Zara Md Isa, 10, berkata, arwah bapanya sempat menitipkan beberapa pesanan kepadanya supaya menjaga ibu dengan baik dan rajin belajar.

"Beberapa hari selepas ayah pergi sukar saya nak lelapkan mata sebab terfikirkanya arwah dan kami beruntung dapat ayah sebaik arwah," katanya.

Rakaman video berdurasi 0.34 saat yang tular di media sosial baru-baru ini memaparkan sebuah ambulans melalui kediaman mereka sambil kendengaran tangisan anak-anak arwah.