PENGENDALI England, Gareth Southgate mempertahankan tindakannya untuk tidak menggunakan pemain gantian ketika The Three Lions melakar keputusan seri 1-1 menentang Poland dalam aksi Kelayakan Piala Dunia awal pagi Rabu.
Sebaliknya Poland yang memanfaatkan peluang menggantikan kelima-lima pemain pada perlawanan tersebut akhirnya berjaya mengikat pelawat menerusi jaringan pada masa kecederaan.
"England bermain dengan cukup baik sepanjang perlawanan, malah pemain-pemain menguasai rentak permainan. Jadi adalah tidak mudah malah amat berisiko untuk melakukan pertukaran pemain yang secara tidak langsung menjejaskan taktikal permainan England.
"Sejujurnya, apabila England sedang mengawal permainan tidak timbul isu untuk melakukan pertukaran pemain-pemain, mengapa perlu melakukan pertukaran pemain-pemain pada ketika kita menguasai tempo perlawanan?," katanya.
Keputusan aksi kumpulan I di Stadium Nasional, Warsaw itu menyaksikan mengakhiri rekod 100 peratus kemenangan dalam lima perlawanan sebelum ini sekaligus empat mata mengatasi Albania kedua diikuti Poland dengan lima mata.
Mengenai perlawanan itu, Southgate mengakui aksi menentang Poland merupakan pertemuan paling mencabar dihadapi The Three Lions sejak tewas kepada Itali menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi final Euro 2020 di Stadium Wembley pada Julai lalu.
"Tidak mengejutkan ini adalah perlawanan paling mencabar buat England dalam peringkat kumpulan. Kami bermula agak perlahan pada awal permainan selain Poland memberikan tekanan.
" Biarpun begitu ia tidak lama apabila pemain-pemain England mula mendapat rentak dan mengawal permainan biarpun kurang melakukan ancaman berbahaya selain percubaan Harry Kane yang melepasi palang gol lawan.
"Pada babak kedua kami sekali lagi menguasai permainan, namun sekiranya terdapat kritikan pada kali ini adalah disebabkan pemain-pemain England gagal menterjemahkan penguasaan perlawanan dalam bentuk penyudah selain kurang berada dalam kawasan sepatutnya untuk menjaringkan gol," katanya.
Pada perlawanan itu, Kane terlebih dulu meletakkan pelawat di depan hasil jaringan minit ke-72, sebelum Damian Szymański meledak gol penyamaan minit ke-92.