TAPAH - Dua lelaki maut selepas van dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 331.2 Lebuh Raya Utara - Selatan arah utara di sini pada Khamis.
Dalam nahas kira-kira jam 12.54 tengah hari itu, penumpang belakang warga Filipina, Relano Gemar, 35, disahkan maut di tempat kejadian, manakala penumpang hadapan, Collins Prestly Primus, 29, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tapah.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati van yang dinaiki empat lelaki itu dalam perjalanan dari Klang menuju ke Bukit Kayu Hitam, Kedah.
"Treler itu pula dalam perjalanan dari Setia Alam menuju ke Ipoh berada di laluan kiri dan hendak berhenti di lorong kecemasan.
"Apabila sampai di tempat kejadian van yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan dan melanggar belakang treler terbabit," katanya.
Menurutnya, seorang lagi penumpang belakang berusia 25 tahun cedera ringan, manakala pemandu van berusia 31 tahun dan pemandu treler berusia 43 tahun tidak cedera.
"Pemandu van ditahan untuk menjalani ujian dadah dan alkohol. Kenderaan terlibat kemudiannya dibawa untuk pemeriksaan pihak Puspakom.
"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik hospital berkenaan untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1)Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.