SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Pulau Langkawi akan dijadikan destinasi pertama projek rintis bagi pembukaan sektor pelancongan domestik sempena sambutan Hari Malaysia.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Langkawi boleh mula dikunjungi pelancong domestik yang memenuhi kriteria prosedur operasi standard (SOP) dari seluruh negara termasuk dari negeri yang berada dalam fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 16 September ini.
Bagaimanapun menurutnya, kebenaran ini tidak terpakai kepada mereka yang sedang berada di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Katanya, pelancong mempunyai pilihan untuk pergi ke Langkawi melalui jalan udara dan darat.
"Bagi pergerakan menggunakan jalan darat, pelancong perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan sekurang-kurangnya untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari destinasi permulaan jeti feri ke Langkawi.
"Manakala bagi pelancong yang memulakan perjalanan mereka ke Langkawi dari Kedah dan Perlis serta yang menggunakan jalan udara, mereka tidak diwajibkan mengguna perkhidmatan agensi pelancongan,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Nancy turut menggariskan SOP yang perlu dipatuhi oleh pelancong antaranya terhad kepada individu yang lengkap dua dos vaksinasi.
"Jenis percutian yang dibenarkan ialah secara harian, bermalam, percutian dengan tempahan penginapan atau tiket masuk yang dibuat terlebih dahulu, percutian pakej pelancongan melalui syarikat pelancongan berlesen dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
"Bilangan penumpang setiap kenderaan semasa dalam perjalanan tertakluk kepada kapasiti sebenar kenderaan tersebut.
"Pengunjung yang perlu menyesuaikan dengan waktu perkhidmatan feri ke Langkawi dibenarkan bermalam di premis penginapan berdaftar di Kedah atau Perlis,” katanya.
Nancy berkata, antara SOP lain yang digariskan ialah pengunjung perlu menunjukkan bukti dokumen pembelian produk pelancongan seperti tiket penerbangan, tiket feri, resit hotel atau resit pakej pelancongan semasa memohon kebenaran dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ketika diminta oleh penguat kuasa agensi pematuhan SOP.
Katanya, aktiviti gelembung pelancongan Langkawi yang dibenarkan termasuklah seperti penginapan di hotel dan homestay, aktiviti pantai, sukan air, selam skuba, pelancongan, memancing dan sebagainya.