Human Aid Selangor tawar Al-Quran Muslimah Tagging Edisi Khas

Iklan
Diana Amir bersama Al-Quran Muslimah Tagging Edisi Khas Diana Amir.

SHAH ALAM - Human Aid Selangor (Pertubuhan Amal dan Kemanusiaan Selangor) menawarkan 400 naskhah Al-Quran Muslimah Tagging Edisi Khas Diana Amir dengan kerjasama selebriti, Diana Amir bagi meraih dana untuk Sekolah Pelangi Kasih, Selayang.

Timbalan Presidennya, Badariah Abdul Hamid berkata, al-Quran tersebut disusun khas bersama 319 tafsiran tematik yang akan menjadi rujukan dan bimbingan kepada pembaca.

Iklan
Iklan

Tambahnya, al-Quran itu juga tampil dengan kaligrafi khas yang dipersembahkan dengan pelbagai tema berdasarkan empat kategori utama seperti hukum, ibrah, wanita serta iman dan moral.

"Projek ini untuk menyokong pendidikan anak-anak yang kurang bernasib baik di Human Aid Selangor.

Iklan

"Ia untuk mendekatkan lebih ramai Muslimah mendalami, mentafsir, melancarkan bacaan, bertadabbur dan memahami bait-bait kalamullah yang terpelihara kitabnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, Badariah berkata, orang ramai boleh mendapatkan al-Quran berkenaan dengan harga RM220 menerusi aplikasi Shopee, Facebook dan Instagram.

Badariah Abdul Hamid

Iklan

Katanya, hasil keuntungan tersebut akan diberikan sepenuhnya kepada tabung pendidikan pelajar-pelajar Sekolah Pelangi Kasih.

"Sekolah ini yang dibina sejak 2015 lalu memberikan pendidikan kepada anak-anak pelarian Rohingya dan Myanmar Muslim seramai 100 orang. Pendidikan dan makanan diberi secara percuma termasuk bantuan kepada keluarga pelajar yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Diana berkata, projek al-Quran tersebut dapat membantu kelangsungan program-program kebajikan di bawah Human Aid Selangor dalam tempoh pandemik Covid-19.

Jelas Diana, projek tersebut menarik minatnya untuk bekerjasama dengan pertubuhan itu memandangkan ia amat membantu khususnya Muslimah untuk lebih memahami dan mentadabbur kalam ALLAH.

"Saya boleh katakan bahawa al-Quran ini memang bagus dan saya suka. Malah, kakitangan saya pun minta dibelikan al-Quran ini. Ia juga mempunyai ciri tambahan lain yang sesuai untuk Muslimah,” ujarnya.

Projek al-Quran menawarkan Al-Quran Muslimah Tagging Edisi Khas Diana Amir.

Mengulas lanjut, Diana berkata, dengan adanya kisah-kisah tokoh wanita di dalam al-Quran, ia lebih mudah dan dekat dengan hati wanita.

Katanya, al-Quran itu sesuai untuk dibawa ke mana-mana kerana saiznya yang lebih mesra dan boleh dijadikan sebagai hadiah kepada ibu, kakak serta adik-beradik perempuan agar mendapat manfaat daripadanya.

"Dengan pembelian al-Quran ini, kita juga boleh menderma kepada program-program kebajikan.

"Itu adalah sumbangan anda kepada Human Aid Selangor. Justeru, saya berharap dapatlah memberi sokongan sebagai tanda kita ambil peduli dengan kesusahan orang lain,” tambahnya.