YAN - Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) mengesan beberapa alur sungai di Gunung Jerai telah berubah hasil pemetaan baharu yang dilakukan menerusi kerja-kerja pengumpulan data geospatial dengan kaedah pemetaan di udara.
Ketua Pengarah Jupem, Datuk Dr Azhari Mohamed berkata, pihaknya menyewa sebuah kapal terbang untuk membantu melakukan kerja-kerja pengumpulan data geospatial dengan kaedah pemetaan dari udara di sekitar Gunung Jerai selepas dron yang cuba diterbangkan berdepan pelbagai halangan seperti hujan dan angin kuat.
Menurutnya, langkah tersebut dilakukan pada 21 Ogos hingga 4 September lalu bagi membantu untuk membuat pemetaan semula di kawasan terjejas selain terdapat beberapa kawasan yang dikesan berubah terutama di lereng-lereng gunung.
"Perubahan bentuk muka bumi yang berlaku di kawasan sekitar Gunung Jerai akibat bencana geologi dan aliran puing bulan lalu akan dipetakan sepenuhnya sebagai rujukan kepada agensi teknikal lain.
"Peta baharu dan data geospartial yang diperolehi ini diperlukan terutamanya oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan pihak tersebut akan membuat penilaian semula berhubung kawasan bencana yang terlibat," katanya pada sidang akhbar di Pusat Rekreasi Titi Hayun dekat sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan kemajuan penyediaan data geospatial bencana banjir di Gunung Jerai, Yan.
Sementara itu, Pengarah JMG Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Abdullah Sulaiman berkata, maklumat tersebut diperlukan oleh pihaknya untuk menganalisa perubahan dan berapa jumlah tanah yang runtuh berdasarkan peta yang sebelum dan selepas kejadian berlaku.
"Buat masa ini, kita masih lagi membuat analisis. Bagaimanapun berhubung jumlah berapa peratus sungai berubah, JMG masih belum dapat lagi. Namun selepas analisis teliti baharulah kita tahu berapa jumlah sebenar yang berubah.
"(Perubahan) akan dipetakan alur-alur sungai ini, kalau kita lihat sungai dahulunya dalam bentuk bengkang-bengkok, namun sekarang disebabkan aliran puing, sungai itu ada dalam garisan lurus, itu akan dipetakan sebagai perubahan daripada sungai sebelum ini," katanya.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata, data yang diperolehi oleh Jupem banyak membantu JMG untuk melihat perbezaan nyata pada peta baharu seperti alur sungai dengan jelas malah ada yang seluas sehingga 50 meter akibat kesan aliran puing.
"Begitu juga pada puncak gunung, sebelum ini tiada kesan parut atau tanah runtuh. Jadi semua data ini akan dianalisis bagi menentukan perubahan yang berlaku dan dijadikan rujukan pada masa depan,” ujarnya.