Taliban rayu kembali ke Afghanistan

Iklan
Mullah Mohammad Hassan (kanan) ketika memegang jawatan Menteri Luar sewaktu bertemu bekas Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif di Islamabad pada Ogos 1999. - Foto: Agensi

KABUL - Pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohammad Hassan Akhund merayu kepada pihak yang melarikan diri selepas Taliban kembali berkuasa supaya kembali semula ke negara itu.

Rayuan itu dibuat menerusi wawancara eksklusif bersama Al Jazeera pada Rabu ketika beliau menyatakan kumpulan tersebut akan memberi jaminan keselamatan kepada diplomat, kedutaan dan institusi bantuan kemanusiaan di samping menekankan Taliban mahu menjalinkan hubungan positif serta kukuh bersama negara antarabangsa.

Iklan
Iklan

"Kami kini memikul ujian dan tanggungjawab besar terhadap rakyat Afghanistan. Kami sudah berdepan kerugian besar dan ramai yang terkorban untuk mencapai detik bersejarah ini," ujarnya.

Pembantu rapat dan penasihat politik kepada pengasas Taliban, Mullah Omar itu sekali lagi mengulangi ikrar untuk memberi pengampunan kepada individu yang pernah bekhidmat dengan Amerika Syarikat (AS) selepas pendudukannya bersama pakatan asing pada tahun 2001.

Iklan

"Kami tidak akan membalas dendam atas perbuatan mereka sebelum ini. Oleh itu, saya mahu yakinkan rakyat ini bahawa Taliban mahukan kebaikan yang akan membawa kejayaan bagi mewujudkan sistem Islam," katanya yang meminta penglibatan semua pihak untuk menjayakan usaha diberkati itu.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas pemerintah Taliban menubuhkan kerajaan sementara yang dibentuk secara eksklusif tanpa penyertaan wanita dan puak politik lain.

Iklan

Penubuhan kerajaan baharu Afghanistan itu turut menerima pelbagai reaksi kerana Taliban berjanji untuk menubuhkan kerajaan inklusif sebelum ini.

Ketika ini, beberapa negara antarabangsa seperti China dan Uzbekistan telah menzahirkan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan pemerintah Taliban.

Kesatuan Eropah (EU) dan PBB bagaimanapun menyatakan penolakan mereka terhadap pemerintahan baharu Afghanistan setelah AS memaklumkan hanya akan menilai berdasarkan tindakan kepimpinan Taliban.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Dalam Negeri di bawah kerajaan sementara ditubuhkan Taliban pada Selasa mengeluarkan dekri untuk menghentikan siri protes yang berlarutan sejak beberapa hari lalu.

Perintah itu menetapkan sebarang bentuk demonstrasi perlu ditamatkan melainkan ia mendapat kebenaran pihak berkuasa.

"Seluruh rakyat tidak dibenarkan mengadakan tunjuk perasaan pada masa ini,” tegas kementerian itu lagi.

Arahan tersebut dikeluarkan selepas demonstrasi semakin meningkat, malah turut disertai majoriti golongan wanita yang melaungkan slogan menuntut 'kebebasan’ dan mengecam campur tangan Pakistan dalam hal ehwal dalaman Afghanistan walaupun dinafikan Islamabad. - Agensi

INFO:

- Daripada 33 jawatan diumumkan Taliban untuk membarisi kerajaan sementara, 14 daripadanya adalah bekas pemimpin ketika era pemerintahan 1996-2001, lima daripadanya adalah bekas tahanan AS di penjara Teluk Guantanamo di Cuba dan bakinya adalah anggota generasi kedua gerakan tersebut.