SUNGAI BULOH - Masalah brek dipercayai menjadi punca sebuah lori pasir merempuh tujuh kenderaan di Persiaran Bukit Rahman Putra 1 di sini pada petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu berlaku ketika lori berkenaan dikatakan menuju ke arah Bandar Baru Sungai Buloh.
"Lori yang dipandu seorang individu berumur 35 tahun itu dipercayai mengalami masalah brek, lalu hilang kawalan sebelum melanggar tujuh kenderaan yang berhenti di lampu isyarat.
"Kejadian berlaku di kawasan selekoh menuruni bukit dan ketika kejadian, cuaca adalah baik," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Beliau bagaimanapun berkata, tiada mangsa yang cedera dalam kejadian tersebut.
"Kejadian mengakibatkan kesemua kenderaan terlibat mengalami kerosakan akibat rempuhan. Kesemua mangsa serta pemandu terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan," ujarnya.
Tambah beliau, siasatan lanjut berkaitan kejadian masih dijalankan.
"Saksi yang menyaksikan kejadian tersebut diminta untuk tampil menyalurkan maklumat berkenaan kejadian dengan menghubungi pihak polis.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.