Bekas Presiden Afghanistan digulingkan mohon maaf

Iklan
Ashraf mendakwa beliau diarah segera meninggalkan negara itu oleh pasukan keselamatannya pada bulan lalu. - Foto: Agensi

ABU DHABI -"Saya tiada niat untuk tinggalkan rakyat Afghanistan. Saya mohon maaf."

Permohonan maaf dan rasa kesal atas tindakannya itu dizahirkan bekas Presiden Afghanistan digulingkan, Ashraf Ghani menerusi Twitter kira-kira tiga minggu selepas beliau meninggalkan Kabul atas alasan mahu mengelak insiden pertumpahan darah menjadi lebih buruk.

Iklan
Iklan

"Tinggalkan Kabul adalah keputusan paling sukar dalam hidup saya. Tetapi, saya percaya ia adalah satu-satunya cara untuk mengeruhkan keadaan dan menyelamatkan Afghanistan bersama enam juta penduduknya,” ujarnya.

Ashraf yang kini berada di Abu Dhabi turut mengambil peluang untuk menafikan dakwaan kononnya dia turut melarikan diri bersama-sama jutaan dolar, malah beliau sedia untuk disiasat bagi membuktikan dirinya tidak bersalah.

Iklan

Tuduhan tersebut dilemparkan bekas Duta Afghanistan ke Tajikistan, Zahir Aghbar yang mendakwa Ashraf membawa wang berjumlah kira-kira AS$169 juta (RM701 juta).

Beliau juga mengakui kelemahannya kerana gagal untuk membawa keamanan dan kemakmuran di negara itu.

Iklan

Menerusi wawancara bersama rangkaian TOLOnews, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken mendakwa Ashraf memaklumkan kepadanya pada malam sebelum melarikan diri kononnya beliau bersedia berjuang hingga mati.

Dalam perkembangan berkaitan, pemimpin kumpulan anti-Taliban, Barisan Penentangan Nasional (NRF), Ahmad Shah Massoud dan bekas Naib Presiden Afghanistan, Amrullah Saleh didakwa masih berada di negara itu.

Perkara itu disahkan Zahir yang dilantik di bawah pentadbiran bekas Presiden digulingkan, Ashraf Ghani pada Rabu.

Jelas Zahir, beliau sering berhubungan dengan Amrullah, manakala pemimpin kumpulan penentang tersebut enggan berkomunikasi secara umum atas faktor keselamatan.

"Kedua-duanya tidak melarikan diri ke Tajikistan. Khabar angin yang mendakwa Ahmad Shah telah meninggalkan Lembah Panjshir adalah tidak benar, malah Amrullah juga berada di kawasan kubu kuat kumpulan penentang tersebut,” ujarnya.

Sehingga kini, NRF enggan mengaku kekalahan mereka walaupun Taliban mendakwa sudah menguasai Panjshir yang menjadi wilayah terakhir berjaya ditawan kumpulan tersebut. - Agensi