KOTA KINABALU - Seramai 1.02 juta lagi penduduk dewasa Sabah perlu divaksin dalam usaha mencapai imuniti kelompok bagi membendung penularan Covid-19 di negeri itu, kata Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Rose Nani Mudin.
Beliau berkata, setakat semalam, lebih 1.29 juta individu atau 47 peratus daripada populasi dewasa di Sabah telah melengkapkan kedua-dua dos manakala lebih 1.75 juta individu atau 63.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri.
"Sasaran Sabah adalah untuk mencapai 80 peratus (pemberian vaksin) dos pertama dan 60 peratus bagi dos dua pada 30 September ini.
"Justeru, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menggesa penduduk yang belum divaksinasi untuk datang secara jumpa terus ke mana-mana pusat pemberian vaksin terdekat manakala bagi penduduk yang tinggal di pedalaman atau kawasan sukar dicapai, boleh datang ke aktiviti ‘outreach’ di kawasan tersebut bagi mendapatkan vaksin Covid-19,” menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.
Dr Rose Nani berkata, vaksin diberikan secara percuma untuk semua individu tanpa mengira taraf kewarganegaraan dan penduduk tanpa dokumen juga diminta agar segera mendapatkan vaksinasi.
Beliau turut menafikan mesej tular di media sosial yang mendakwa pemberian vaksin di Sabah dikenakan bayaran.
"Terdapat juga pihak yang menakutkan penduduk bukan warganegara dengan mengatakan mereka ditahan oleh pihak berkuasa semasa mengambil vaksin. Perkara ini adalah tidak benar.
"Tujuan utama pemberian vaksin kepada semua adalah bagi memastikan penduduk yang tinggal di Sabah selamat daripada jangkitan Covid-19,” katanya.
Dr Rose Nani juga berkata, dua daerah di Sabah merekodkan pencapaian 100 peratus penduduk dewasa menerima suntikan vaksin dos pertama iaitu Beaufort dan Putatan manakala Kinabatangan adalah daerah yang mencatatkan kadar vaksinasi terendah di negeri itu.
Beliau berkata analisis data dari Hospital Queen Elizabeth turut mendapati individu tidak divaksin berdepan risiko mengalami komplikasi jangkitan Covid-19 yang teruk.
"Sejumlah 80 hingga 90 peratus pesakit di unit rawatan rapi (ICU) adalah mereka yang tidak divaksinasi. Vaksin adalah sangat penting kepada setiap individu dan ia dapat mengurangkan risiko jangkitan serta kematian,” katanya. - Bernama