SAINGAN Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) menjadi kejuaraan ketiga dibatalkan untuk musim kedua berturut-turut selepas pembatalan kejuaraan Piala Presiden dan Piala Belia sebelum ini.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar, pembatalan kejuaraan di bawah seliaan badan induk bola sepak negara tersebut selepas mengambil kira situasi semasa berkaitan pandemik Covid-19.
Iklan
Iklan
Malah jelasnya, keputusan itu juga mengambil kira perkara berkaitan pengoperasian serta keselamatan kesemua pemain, pegawai, petugas perlawanan dan individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan penganjuran pertandingan yang dimaksudkan.
"Keputusan ini juga diambil selaras dengan status penganjuran pertandingan tersebut yang sehingga kini masih belum mendapat kebenaran rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"FAM turut berasakan bahawa keputusan ini adalah yang terbaik pada ketika ini dan pada masa yang sama memberi lebih ruang kepada setiap pasukan untuk membuat perancangan menghadapi pertandingan ini bagi musim depan.
"FAM juga memohon kerjasama semua pihak dalam pelaksanaan keputusan dan ketetapan yang diputuskan dan berterima kasih kepada kesemua pasukan yang telah memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha dan perancangan FAM sebelum ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Untuk rekod, FAM sebelum ini membatalkan kejuaraan Piala Presiden dan Piala Belia pada 30 Ogos lalu.