Aaron, Wooi Yik sudah bersedia untuk Piala Sudirman, Piala Thomas

Iklan
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (tengah) beramah mesra dengan Aaron Chia dan Wooi Yik pada Majlis Penyampaian Insentif BAM di ABM pada Khamis.

PEMENANG pingat gangsa acara beregu lelaki Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berada di landasan tepat untuk menghadapi dua kejohanan berpasukan - Piala Sudirman dan Piala Thomas dalam tempoh sebulan ini.

Berbekalkan semangat kejayaan di Olimpik, Aaron menganggap ia tidak menjadi masalah besar untuk beliau kembali mempamerkan aksi berbisa setelah menjalani kuarantin selama dua minggu dan berehat selepas pulang dari Tokyo.

Iklan
Iklan

"Saya rasa sudah 95 peratus bersedia, semangat dari Tokyo masih ada. Jadi saya rasa bukan masalah besar untuk kita ambil masa untuk pemulihan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan insentif Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini pada Khamis.

Selaku beregu lelaki utama di kedua-dua kejohanan itu, Aaron menasihatkan barisan pemain muda bakal dinamakan BAM supaya tidak gusar sebaliknya memberikan yang terbaik dengan berjuang habis-habisan.

Iklan

Sementara itu, Wooi Yik berkata mereka perlu membina semula persediaan mental dan fizikal selepas menjalani kuarantin, namun berharap dapat memberikan yang terbaik bagi kejohanan tersebut.

"Selepas balik Olimpik, kita baru memulakan latihan tiga minggu dan dalam masa dua minggu lagi kena berlepas ke Piala Sudirman, diikuti Piala Thomas. Sejak Goh V Shem-Tan Wee Kiong keluar dari BAM dua tahun lepas, kita kena ambil tanggungjawab sebagai beregu utama.

Iklan

"Ada beban dan beza, tetapi kita dah dapat banyak pengalaman dengan menyertai banyak kejohanan besar dan Olimpik kita dapat gangsa. Jadi dengan motivasi ini, kita berharap dapat teruskan perjuangan untuk beberapa tahun lagi hingga Olimpik Paris 2024,” katanya.

Piala Sudirman adalah kejohanan berpasukan campuran dijadualkan berlangsung di Vantaa, Finland bermula 26 September hingga 3 Oktober, diikuti Piala Thomas di Aarhus, Denmark bermula 9 hingga 17 Oktober

BAM bakal mengumumkan skuad negara ke Piala Sudirman, Thomas dan Uber pada Sabtu ini yang dijangka dibarisi pemain-pemain muda dan pelapis.

Terdahulu, kedua-dua pemain itu menerima insentif RM120,000 daripada BAM dan RM60,000 daripada 100Plus.

Ditanya mengenai perancangan perbelanjaan ganjaran yang diterima itu, kedua-dua pemain mahu menyimpan wang ganjaran yang diperoleh untuk masa depan, keluarga dan pembelian rumah. - Bernama