KUALA LUMPUR - Kira-kira 200 peserta memeriahkan program Kayuhan CSR IQ Malaysia dan Persatuan Kakitangan Bank Negara (PKBNM) 2019 bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melepaskan peserta jam 7.10 pagi sebelum memulakan kayuhan sejauh 12 kilometer.
Kayuhan dimulakan dari Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengelilingi pusat bandar sebelum berhenti di persimpangan KLCC untuk sesi bergambar beramai-ramai dan tiba ke Sasana Kijang Bank Negara (BNM), satu jam kemudian.
Mengiringi baginda adalah Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Qayyim (IQ Malaysia) , Dr Muhamad Rozaimi Ramli, Penolong Gabenor BNM, Abu Hassan Alshari Yahaya dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid dan Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.
Baginda kemudian berkenan melawat galeri pameran BNM sebelum menyampaikan sumbangan kepada 40 asnaf terpilih dalam majlis tersebut.
Presiden IQ Malaysia, Dr Muhamad Rozaimi Ramli berkata, program julung kali diadakan itu adalah anjuran bersama PKBNM.