Aksi Negeri Sembilan, Sarawak ibarat perlawanan akhir!

Iklan
Damien -Foto: Negeri Sembilan Football Club

UMPAMA perlawanan akhir! Itu ungkapan paling tepat untuk memperkatakan mengenai pertemuan dua kelab teratas Liga Premier antara Sarawak United FC dan Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Jumaat.

Kemenangan akan mengesahkan Sarawak United muncul juara Liga Premier, namun keputusan seri atau tiga mata buat Negeri Sembilan akan memperlihatkan juara hanya akan ditentukan pada perlawanan terakhir Liga Premier.

Iklan
Iklan

Perkara itu diakui penjaga gol Negeri Sembilan, Damien Lim Chien Kai, yang menjangkakan pertemuan yang penuh epik dan mendebarkan membabitkan kedua-dua pasukan sepanjang 90 minit permainan.

Biarpun menghormati Sarawak United FC yang terdiri dari ramai pemain berpengalaman, Damien tidak mahu mereka merendah diri sebaliknya dia serta rakan yang lain bersedia berusaha lebih 100 peratus untuk menjinakkan lawan.

Iklan

"Kami telah lakukan persiapan yang paling menyeluruh bagi menghadapi perlawanan ini dan suasana dalam pasukan begitu positif, sememangnya kami tiada pilihan lain iaitu wajib bagi meraih tiga mata apabila berdepan Sarawak.

"Jika menang, kami boleh memastikan peluang di tangan sendiri pada perlawanan terakhir liga sambil tidak perlu menunggu apa terjadi dengan Sarawak pada perlawanan terakhir.

Iklan

"Saya memang hormati Sarawak kerana mereka mempunyai nama-nama besar seperti Sharbinee Allawee, Norshahrul Idlan Talaha, Sandro da Silva dan Taylor Regan serta skuad penuh berpengalaman.

"Namun, itu hanya semasa di luar padang dan apabila kami berdepan mereka esok, kami akan berikan saingan sebaik mungkin dan tidak gentar untuk cuba meraih kemenangan,” katanya.

Saingan kejuaraan Liga Premier masih terbuka selepas Kuching City FC meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Sarawak United pada Selasa lalu yang menjadikan Negeri Sembilan yang berada di tangga kedua, masih kekal dua mata di belakang Sarawak.

Sementara itu, Terengganu FC II yang masih punyai baki tiga perlawanan masih punyai harapan meraih kejuaraan jika menang dalam ketiga-tiga aksi selain mengharapkan Sarawak dan Negeri Sembilan secara keseluruhan tidak meraih lebih 38 mata serta perlu melihat perbezaan jaringan.

Pemain berusia 24 tahun ini anak saudara kepada bekas penjaga gol kebangsaan, Lim Chuan Chin, melakukan penampilan dalam 11 perlawanan bersama Negeri Sembilan pada musim ini serta mengetepikan dua penjaga gol yang lebih berpengalaman, Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman dan Muhaimin Mohamad.

Dia juga merupakan bekas penjaga gol Bawah 22 tahun semasa Sukan SEA 2019 di Filipina serta bersama PKNS FC dan Kelantan pada musim lalu.

Situasi itu membuatkan Damien mengharapkan dia mampu membalas kepercayaan yang diberikan pasukan dengan menghadiahkan memori kejayaan muncul juara Liga Premier buat Negeri Sembilan, trofi pertama dalam tempoh 10 tahun selepas kali terakhir mereka muncul juara Piala Malaysia pada 2011.

"Saya tidak boleh lupakan dengan apa yang terjadi di Negeri Sembilan musim ini kerana saya mendapat peluang yang banyak untuk bermain malah penyokong-penyokong juga begitu kuat berikan sokongan.

"Saya tekad mahu dapatkan trofi ini sebagai antara detik karier terbaik saya dalam bola sepak serta membalas kepercayaan jurulatih kerana yakin dengan kemampuan saya selain kepada penyokong Negeri Sembilan.

"Harap dua perlawanan akan datang, menyaksikan tuah akan bersama Negeri Sembilan dan kami mampu mengakhiri kempen Liga Premier musim ini dengan noktah kejayaan,” katanya.