Di sebalik papan tanda ada persundalan

Iklan
Gambar hiasan -Foto 123rf

LAPORAN muka depan Sinar Harian pada Selasa lalu yang mendedahkan 123 kondominium mewah dijadikan sarang pelacuran bukan sesuatu yang baharu bagi penulis.

Sebagai wartawan yang pernah ditugaskan membuat liputan berita di kawasan sekitar Subang Jaya, Seri Kembangan, Serdang dan Puchong sejak 14 tahun lalu, serbuan ke atas pusat-pusat pelacuran bersama pihak berkuasa bagaikan aktiviti wajib.

Iklan
Iklan

Setiap minggu, hampir lima hingga enam premis yang menjalankan aktiviti persundalan akan menjadi lokasi serbuan. Hasilnya berpuluh-puluh atau menjangkau lebih ratusan ‘ayam’ dapat dicekup.

Tidak kurang juga pelanggan yang ditahan ketika asyik dan longlai dalam dakapan gadis muda genit warga asing ketika serbuan dilakukan. Penulis difahamkan, jika didapati melanggar Akta Imigresen, wanita warga asing akan diserahkan kepada pihak imigresen, manakala pelanggan hanya diambil maklumat dan keterangan.

Iklan

Apabila operasi dilakukan, ada antara wanita warga asing yang mengalirkan air mata dan mendakwa mereka ditipu ketika ditawarkan bekerja di Malaysia. Kononnya, ditawarkan bekerja sebagai pembantu peribadi, setiausaha dan sebagainya tetapi terpaksa menjadi pelacur apabila tiba di negara ini.

Namun, bayaran lumayan dikatakan menjadi pendorong ribuan wanita warga asing menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan menjalankan aktiviti persundalan.

Iklan

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataannya berkata, wanita warga asing boleh mendapat tip antara RM300 hingga RM500 satu malam dan anggaran kasar mereka mampu memperoleh RM5,000 hingga RM10,000 sebulan.

Ada ketikanya sindiket hanya memperdagangkan wanita dari negara tertentu kerana 'stok’ lebih murah dan mereka tidak demand harga tinggi. Pelanggan pula tidak mengira bangsa dan umur, seawal 20-an malah lelaki berusia lewat 60-an juga pernah dicekup.

Sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jangan terkejut jika di sebalik papan tanda (signboard) restoran pun ada kegiatan pelacuran. Sindiket menggunakan premis kosong, kononnya seperti mahu disewakan sebagai lubuk menjalankan aktiviti pelacuran yang menawarkan gadis daripada pelbagai negara termasuklah China, Vietnam dan Filipina.

Disebabkan PKP dan kebanyakan sektor ekonomi masih belum dibenarkan dibuka sepenuhnya, pengusaha mula bimbang aktiviti mereka mudah dikesan, sedangkan permintaan dikatakan sentiasa tinggi.

Mereka dikesan menukar modus operandi dengan beralih ke premis private dan diyakini sebagai lokasi selamat daripada pandangan pihak berkuasa.

Buktinya, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azmi Adam mendedahkan sindiket pelacuran kini mengubah taktik dengan beroperasi di kondominium mewah.

Menurutnya, sejak tahun 2020 sehingga Ogos 2021, sebanyak 123 serbuan dijalankan melibatkan kondominium mewah. Namun, penulis percaya jumlah sarang pelacuran melibatkan premis kondominium mewah dan premis lain mungkin lebih daripada yang dinyatakan.

Persoalannya, adakah lambakan sindiket pelacuran yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan itu disebabkan wujudnya elemen rasuah?

Ini kerana apabila diajak menyertai operasi sebelum ini, kerap juga serbuan gagal apabila sindiket bersama 'ayam-ayamnya’ dapat meloloskan diri.

Ketika premis diserbu dan pintu dipecahkan, kesejukan pendingin hawa masih boleh dirasai dan dipercayai ia beroperasi sebelum dihentikan apabila mendapat maklumat informer berhubung serbuan yang akan dijalankan pihak berkuasa.

Bukan sahaja mereka yang terlibat dalam aktiviti berkenaan perlu dikenakan tindakan undang-undang, malah anggota pihak berkuasa yang menjadi pengkhianat melindungi kegiatan tersebut juga harus dikenakan tindakan setimpal.

Penulis yakin selicik mana pun sindiket pelacuran itu bersembunyi, kehebatan pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) 'menghidu’ aktiviti mereka sukar dinafikan.

Hanya ketegasan dan tindakan undang-undang lebih keras diperlukan bagi menangani lubuk pelacuran di Malaysia walaupun ia mungkin tidak mampu dihapuskan sepenuhnya.

* Nur Farhana Abdul Manan ialah Web Editor Sinar Harian.