PETALING JAYA - Dua sekatan jalan raya (SJR) tetap di Lebuhraya Persekutuan dan Taman Kanagapuram di bawah laluan Lebuhraya Pantai Baru (NPE) di sini yang menghubungkan negeri Selangor dan Kuala Lumpur ditutup bermula Jumaat.
Kedua-dua lokasi SJR yang sudah beroperasi selama empat bulan itu ditutup susulan peralihan kawasan Lembah Klang kepada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, empat lagi SJR yang terletak di laluan keluar dan masuk ke lebuh raya utama akan terus beroperasi.
"SJR yang dikekalkan adalah di Plaza Tol Sungai Buloh, Plaza Tol Kota Damansara, Plaza Tol Damansara dan Plaza Tol Subang," katanya kepada pemberita lewat malam Khamis.
Menurut Fakhrudin, sepanjang tempoh empat bulan enam SJR itu beroperasi, sebanyak 177 kompaun dikeluarkan pihaknya atas kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
"Kita turut membuat sebanyak 41 tangkapan melibatkan warga asing dan tiga tangkapan melibatkan dadah di SJR dalam kawasan Petaling Jaya ini," katanya.
Sementara itu, beliau turut memberikan pujian kepada pengguna jalan raya terutama yang melalui SJR di Lebuhraya Persekutuan kerana sentiasa memberi kerjasama walaupun terpaksa menunggu lama sebelum melepasi sekatan tersebut.
"Semua pengguna jalan raya memberi kerjasama yang baik. Tiada halangan atau aduan diterima walaupun kadang-kadang mereka terpaksa menunggu sehingga 30 minit sebelum melepasi SJR ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa walaupun kelonggaran diberikan, SOP masih lagi berkuat kuasa dan harus dipatuhi.
"Walaupun sudah beralih kepada PPN fasa kedua, orang ramai dinasihatkan untuk terus mematuhi SOP yang sudah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Rentas negeri untuk pasangan jarak jauh contohnya, walaupun dibenarkan mereka masih perlu memohon kebenaran pihak polis, dan kedua-dua pasangan harus lengkap dua dos vaksin," ujarnya
Pada masa sama, Fakhrudin berkata, pasukan pengawasan dan SJR bergerak akan terus digerakkan untuk memastikan SOP PPN fasa kedua sentiasa dipatuhi oleh semua pihak.