BUTTERWORTH - Kerjasama pihak swasta dan kerajaan amat penting bagi memastikan pembangunan industri tuna terus berkembang di Malaysia, selain dapat dimanfaatkan semua pihak.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Malaysia perlu mengambil peluang sebagai negara ahli Indian Ocean Tuna Commission (IOTC) untuk menghantar lebih banyak vesel perikanan menangkap ikan tuna di Lautan Hindi.
Menurutnya, ia juga menggalakkan lebih banyak vesel tuna untuk mendarat di Malaysia.
"Kerajaan sentiasa berusaha menaik taraf kemudahan di pelabuhan untuk menarik minat lebih banyak vesel tuna tempatan dan asing masuk bagi mendaratkan hasil tangkapan mereka.
"Oleh itu, sudah pasti peningkatan fasiliti pendaratan, pengendalian tuna dan peningkatan kemahiran pekerja yang mengendalikan pendaratan dapat memastikan kualiti tuna terjaga serta sentiasa berada dalam keadaan baik.
"Selain itu, masa memunggah juga dapat dipendekkan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Pendaratan Tuna di Dermaga Ayer Dalam di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ronald berkata, MAFI sedang memuktamadkan cadangan pembangunan pelabuhan pendaratan tuna dan kompleks perikanan di Jeti Batu Maung melalui kerjasama strategik pihak swasta.
Jelas beliau, ia akan dapat meningkatkan kemasukan vesel tuna ke pelabuhan berkenaan, sekali gus mampu melonjakkan hasil pendaratan tuna di Malaysia.
Untuk rekod, Malaysia mempunyai dua pelabuhan yang sesuai dijadikan pelabuhan pendaratan tuna oleh vesel yang beroperasi di Lautan Hindi iaitu Dermaga Air Dalam di Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Langkawi.
Ronald berkata, Januari sehingga Ogos tahun ini, negara merekodkan sebanyak 58,550 tan metrik pendaratan tuna bernilai RM520 juta.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 42,232 tan metrik (72 peratus) adalah jenis tuna neritik, 3,389 tan metrik (6 peratus) adalah daripada tuna oseanik dan 12,929 tan metrik (22 peratus) adalah daripada tuna-like species.
"Daripada jumlah pendaratan tersebut, pelabuhan Pulau Pinang telah menerima 20 kali pendaratan tuna dengan 1,301 tan metrik bernilai RM19.5 juta dieksport ke negara Indonesia, Thailand, Singapura dan Vietnam,” katanya.
Melihat kepada hasil pendaratan itu, beliau berkata, kerajaan menggalakkan sehingga 70 buah vesel penangkapan ikan tuna berbendera Malaysia beroperasi di Lautan Hindi menjelang tahun 2030.
"Ia bagi membolehkan kuota pendaratan ikan tuna oleh Malaysia di Lautan Hindi sebanyak 30,000 tan metrik tercapai. Sehingga bulan lalu, sebanyak 20 buah vesel tuna iaitu 19 buah vesel penangkapan ikan tuna dan sebuah vesel carrier tuna telah dilesenkan.
"Semua vesel itu sudah beroperasi di Lautan Hindi, manakala sebuah lagi vesel penangkapan ikan tuna dalam proses pelesenan dan dijangka dilesenkan pada hujung tahun ini,” katanya.
Selain menggalakkan vesel sedia ada untuk mendaratkan tuna di pelabuhan-pelabuhan yang telah didaftarkan, Ronald berkata, ia juga sebagai galakan kepada pengusaha tempatan menceburi industri tuna.
"Ia membuka peluang kepada pemilik Zon C2 dengan peralatan rawai atau pukat jerut yang berkelayakan untuk mengoperasikan vesel di Zon C3.
"MAFI melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) sentiasa menyokong usaha dalam pembangunan industri perikanan termasuk industri tuna,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan industri perikanan tuna semakin rancak dibangunkan dan satu pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021-2030 akan dilancarkan dalam masa terdekat.
"Pelan ini akan menggalakkan pertumbuhan yang lebih ke hadapan dalam industri tuna dan laut dalam. Ia juga sebagai inisiatif pembangunan dan pengurusan industri negara yang menyeluruh selaras Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0).
"Pelan itu wajar diterjemahkan dengan memastikan peluang ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak kerana ia tidak terhad kepada aktiviti penangkapan sahaja.
"Malah, pelbagai perkhidmatan lain di sepanjang rantaian nilai industri tuna boleh dibangunkan seperti pelabuhan, pengangkutan, penyimpanan, pemprosesan dan lain-lain,” kata Ronald.