ALOR SETAR - Laluan feri dari Terminal Kuala Perlis ke Langkawi akan ditambah kepada dua trip sehari bermula 16 September ini berikutan pelaksanaan Gelembung Pelancongan Projek Rintis ke Langkawi.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, trip akan berjalan pada sesi pagi dan petang untuk memudahkan pergerakan pelancong berbanding hanya satu trip ketika ini.
Katanya, kemasukan trip feri dari Terminal Kuala Kedah pula akan bermula sebaik tamat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan terbabit.
"Bagi urusan pembelian tiket, pelancong boleh membuat tempahan secara dalam talian di laman web www.cuticutilangkawi.com," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Khamis.
Menurutnya, semua penumpang yang ingin ke Langkawi perlu menunjukkan sijil vaksinasi lengkap dua dos suntikan ketika membuat pembelian tiket di kaunter dan ketika memasuki balai pelepasan sebelum dibenarkan memasuki feri.
Dalam pada itu, Baharin berkata, penumpang feri juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) untuk melancong ke pulau berkenaan.
Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dalam kenyataan media berkata, Langkawi akan menerima pelancong domestik yang memenuhi kriteria SOP dari seluruh negara, termasuk dari negeri yang berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.
"Walau bagaimanapun, kebenaran ini tidak terpakai kepada mereka yang sedang berada di kawasan PKPD. Pelancong juga mempunyai pilihan untuk pergi ke Langkawi melalui jalan udara dan darat.
"Bagi laluan darat, pelancong perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan, sekurang-kurangnya untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri ke Langkawi.
"Bagi pelancong yang memulakan perjalanan mereka ke Langkawi dari negeri Kedah dan Perlis, serta yang menggunakan jalan udara pula, mereka tidak diwajibkan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan," katanya.