Larikan diri daripada polis gara-gara tiada lesen memandu

Iklan
Suspek berjaya ditahan selepas cuba melarikan diri selepas berlanggar dengan seorang anggota polis yang mengejarnya.

KEPALA BATAS - Tindakan seorang pembantu kedai melarikan diri daripada polis hanya kerana tidak mempunyai lesen memandu membawa padah apabila dia ditahan di Jalan Penaga, di sini pada awal pagi, Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian pada jam 1.05 pagi itu, suspek berusia 19 tahun itu memecut laju motosikal ditunggangnya selepas diarahkan berhenti oleh enam anggota polis yang sedang menjalankan Rondaan Cegah Jenayah/Pematuhan SOP Ops Covid-19.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika rondaan itu, mereka ternampak seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Modenas Dinamik berwarna kuning dalam keadaan mencurigakan.

Katanya lagi, selain itu, lelaki itu juga didapati menggunakan nombor plat motosikal yang tidak mematuhi undang-undang (fancy) menyebabkan salah seorang anggota polis menghampirinya lalu memperkenalkan diri dan mengarahkannya supaya berhenti.

Iklan

"Apabila anggota memperkenalkan diri sebagai polis, suspek terus memecut motosikalnya dengan menunggang secara berbahaya iaitu melakukan 'zig zag' bagi memboloskan diri. Dia juga tidak mengendahkan arahan polis yang beberapa kali memintanya supaya berhenti.

"Aksi mengejar itu berlaku sehingga ke Jalan Bakar Kapor yang mana salah seorang anggota menghampiri di sebelah kanan suspek dan sekali lagi menjerit 'polis' serta mengarahkan suspek berhenti," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Iklan

Noorzainy berkata, suspek yang masih berdegil telah masuk ke simpang Kampung Padang Tembusu secara mengejut mengakibatkan dia terlanggar dengan anggota polis tersebut yang berada di sebelah kanannya.

"Akibat daripada itu, anggota polis yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125ZR dan suspek telah terseret hampir 20 meter. Anggota polis tersebut telah terjatuh ke dalam longkang di Bakar Kapor, Penaga. Sementara itu, suspek telah bangun semula dan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan di kawasan berhampiran.

"Pemeriksaan ke atas tubuh suspek tidak menjumpai sebarang barang yang menyalahi undang-undang. Semakan juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah malah motosikal yang didaftarkan ke atas namanya sendiri juga tidak pernah terlibat dengan kegiatan jenayah," katanya.

Menurut Noorzainy, siasatan awal mendapati, suspek melarikan diri kerana tidak mempunyai lesen memandu selain menggunakan nombor plat yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

"Kami telah mengeluarkan dua saman kepada suspek kerana dua kesalahan tersebut. Ujian saringan air kencing suspek juga negatif. Suspek mengalami calar pada belakang badan, luka di bahu dan siku kiri, serta di kedua-dua belah lutut dan betis.

"Sementara itu, anggota polis yang berusia 30 tahun itu mengalami patah pada bahu kanan, luka di belakang badan dan lutut kanan. Dia kini dirawat di Hospital Kepala Batas dan dilaporkan stabil," katanya.

Suspek kini ditahan reman selama empat hari dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang petugas awam menjalankan tugas.

End