CRISTIANO Ronaldo memberikan bayangan mahu kekal bersama Manchester United untuk tempoh lebih lama lagi selepas kontrak asalnya selama dua tahun berakhir.
Menurut Ronaldo, dia masih yakin dengan kemampuannya untuk membantu pasukan selain menegaskan dirinya sangat berbeza berbanding pemain lain pada usia 36 tahun.
"Saya berada di sini untuk menang. Sebelum orang ramai bercakap mengenai usia, mereka perlu faham bahawa saya sangat berbeza berbanding orang lain.
"Saya telah membuktikannya sepanjang masa, setiap tahun dan tahun ini tetap sama. Saya yakin 100 peratus saya akan tampil bagus dengan rakan sepasukan dan penyokong," katanya.
United mendapatkan Ronaldo dari Juventus dengan nilai perpindahan €20 juta (RM99 juta) ditambah bonus €3 juta (RM15 juta) dan kontrak selama dua tahun.
Dalam pada itu, Ronaldo juga melaungkan keyakinan betapa dia berada pada tahap terbaik untuk menampilkan impak bersama pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
"Itu sebabnya saya berada di sini. Saya masih mampu tampil cemerlang dan bersedia. Ia peluang terbaik buat saya, penyokong dan kelab untuk melangkah ke hadapan.
"Saya sudah bersedia dan ia akan menjadi perkara paling penting untuk tempoh tiga atau empat tahun akan datang," katanya.
Pemenang lima kali Ballon d'Or itu menjulang tiga gelaran EPL dan satu Liga Juara-Juara Eropah bersama United sebelum menyertai Real Madrid pada tahun 2009.
Ronaldo dijangka melakukan debut keduanya bersama United ketika berdepan Newcastle United dalam aksi EPl di Old Trafford pada Sabtu.