ARSENAL sudah tidak mempunyai pilihan selain bangkit untuk melakar kemenangan pertama musim ini dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika menentang Norwich City di Stadium Emirates pada Sabtu.
Pengendali The Gunners, Mikel Arteta berkata, pasukan itu juga telah mendapat kembali beberapa pemain utama mereka selepas Thomas Partey dan Eddie Nketiah kembali daripada kecederaan dan Ben White yang sudah pulih selepas positif Covid-19.
"Saya melihat kehadapan untuk memastikan semua pemain sudah bersedia dan cuba kembali memulakan musim ini dengan cara yang kami mahukan.
"Kami tidak mahu menggunakan sebarang alasan, tetapi kami tahu betapa sukarnya dengan masalah kecederaan dan Covid-19 sekali gus memberikan kesan kepada pasukan.
"Kami perlu bermula semula dan mengharapkan semua pemain berada di landasan yang betul untuk menambah baik dalam setiap perlawanan," katanya.
Arsenal ketika ini berada di kedudukan terbawah liga dan masih belum memperoleh sebarang mata selepas kekalahan kepada Brentford, Chelsea dan Manchester City.
Malah, persembahan terutama jentera serangan pasukan itu juga dikritik selepas gagal menjaringkan sebarang gol dan turut melepaskan sembilan gol dalam ketiga-tiga perlawanan itu.
"Tekanan sentiasa ada untuk kami kembali mendaki kedudukan liga. Kami memerlukan kemenangan pertama itu dan bermain di hadapan penyokong sendiri ketika menentang Norwich akan memberikan kelebihan," katanya.