SHAH ALAM - Kempen antirasuah hanya akan dicapai dan berjaya apabila semua orang bekerjasama tanpa kita mengadili mana-mana pihak.
Ketua Pejuanita Muda Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Dr Nurul Ashikin Mabahwi berkata, sebagaimana ahli politik meraikan rakyat menguar-uarkan mengenai rasuah dan antirasuah, seperti itu jugalah rakyat perlu meraikan ahli politik yang menguar-uarkan mengenai antirasuah.
"Antirasuah itu akan dicapai apabila semua orang bekerjasama tanpa kita mengadili mana-mana pihak.
"Ia tidak akan boleh dicapai jika hanya rakyat sahaja menentang rasuah, sebaliknya ia memerlukan pembabitan dan gabungankedua-duanya iaitu ahli politik dan rakyat.
''Jadi, saya meraikan semua orang menentang rasuah, baik ahli politik mahupun rakyat biasa,” katanya dalam Wacana Sinar Harian yang bertajuk Malaysia Tuntut Reformasi Politik Bebas Rasuah pada malam Khamis.
Wacana itu dikendalikan moderator, Ismail Adnan dan turut menampilkan panel yang terdiri daripada Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia, Badlishah Sham Baharin.
Tambah Nurul Ashikin, sudah sampai masanya Malaysia melakukan pembaharuan dengan menampilkan pemimpin-pemimpin muda agar mereka pula mentadbir dengan idea yang lebih segar.
Namun, dalam meraikan kehadiran pemimpin muda, kita tidak boleh ketepikan mereka yang berpengalaman kerana perlukan komposisi yang lebih seimbang.
"Penglibatan anak muda perlu ditambahkan tapi pengalaman mereka yang lama juga perlu diambil kira, barulah kita akan lebih inklusif.
"Kita pun nampak mereka yang sudah lama dalam politik blok kerajaan, ramai terpalit dengan isu-isu rasuah. Jadi, mungkin langkah terbaik adalah untuk kita membersihkan landskap politik negara dengan menaikkan ikon-ikon politik baru yang mempunyai imej yang bersih dan tidak terpalit dengan kes rasuah,” jelasnya.
Beliau turut bersetuju agar kerajaan mengehadkan tempoh pemerintahan atau penggal pemerintahan seseorang pemimpin untuk mengurangkan risiko kebarangkalian kejadian rasuah, dengan beberapa perkara lain yang perlu diperhalusi.
"Tempoh perintahan yang pendek akan memberi peluang idea yang lebih segar. Misalnya, jumlah tahun dalam setiap penggal itu perlu disekalikan dengan setiap rancangan yang dibuat untuk negara termasuklah peringkat daerah dan negeri,''ujarnya.
Beliau menyoal sejauh manakah sesebuah usaha pembangunan negara itu diteruskan oleh pemimpin yang akan datang. Jadi, beliau berpendapat, kelangsungan itu yang perlu diperhalusi.
Dengan mengehadkan dua penggal, peluang untuk menggubal polisi polisi lain juga lebih cerah.
"Saya bersetuju untuk kita mengehadkan tempoh seseorang itu memegang jawatan, kerana secara tidak langsung ia dapat mengurangkan risiko dia terpalit dengan isu-isu yang tidak sepatutnya,” jelas beliau.