Usahawan Aceh kumpul RM100,000 misi bantuan banjir di Kedah

Iklan
Wan Mohd Shahrir (dua dari kanan) bersama Akhramsyah (dua dari kiri) melepaskan peserta konvoi misi bantuan banjir di Yan, Kedah pada Jumaat.

AMPANG - Musibah banjir di Yan, Kedah mendorong Persatuan Melayu Berketurunan Aceh Malaysia (PERMEBAM) dengan kerjasama Pertubuhan Pembangunan Komuniti Malaysia (Perintis) menggerakkan misi kemanusiaan kali ke-2 ke Pusat Operasi Bencana Kampung Aceh pada Jumaat.

Pengerusi PERMEBAM, Datuk Mansyur Usman berkata, sebanyak 53 kenderaan melibatkan hampir 100 sukarelawan terlibat dalam misi tersebut yang telah mendapat kebenaran polis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, atas dasar tanggungjawab pihaknya segera menjalankan pengumpulan bantuan dan menerima sumbangan melebihi RM100,000 untuk disalurkan kepada penduduk Kampung Aceh yang terjejas musibah banjir itu.

"Bantuan berbentuk wang tunai, makanan asas dan barang keperluan lain adalah hasil sumbangan daripada semua lapisan masyarakat Aceh di Malaysia terutamanya usahawan. Bahkan ada juga bantuan daripada komuniti Aceh yang berada di Indonesia.

Iklan

"Selain penghantaran barang, misi ini juga akan diteruskan dengan kerja-kerja cuci sisa banjir lumpur di Kampung Aceh Management Centre (KAMC) pada hari Sabtu," katanya pada sesi pelepasan jelajah bantuan di Padang Perbandaran Ampang Jaya, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Penasihat PERMEBAM, Akhramsyah Muammar Ubaidah dan Presiden Perintis, Datuk Wan Mohd Shahrir Wan Abd Jalil.

Iklan

Sementara itu, Wan Mohd Shahrir berkata, jalinan kerjasama bersama PERMEBAM dalam kerja sosial itu sebagai tanda prihatin atas musibah serta mengambil peranan meringankan beban mangsa.

"Selain makanan, bantuan kali ini menumpukan kepada barangan asas seperti tilam, bantal dan selimut serta wang tunai sebanyak RM20,000 untuk kegunaan pembangunan di lokasi terjejas.

"Kami dimaklumkan bantuan makanan di sana sudah terlalu banyak dan mereka memerlukan keperluan lain seperti lampin pakai buang, selimut, tilam dan keperluan anak-anak.

"Atas maklumat itu, kami kumpul dan tambah baik misi bantuan termasuk terlibat dengan kerja pembersihan serta pembaikan rumah penduduk terjejas," katanya.