AKSI Liga Premier melibatkan Kuching City FC dan Kelantan United FC di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang di sini petang esok terpaksa ditunda ke tarikh lain susulan dua pemain Kelantan United didapati positif Covid-19.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan keputusan itu dibuat atas persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL apabila mendapati ujian calitan kedua-dua pemain adalah positif.
Iklan
Iklan
"Selaras dengan prosedur operasi standard Kementerian Kesihatan, pegawai dan pemain pasukan Kelantan United akan dikuarantin serta tidak dibenarkan menyertai sebarang aktiviti dalam tempoh tersebut bermula Jumaat.
"Ahli Lembaga Pengarah MFL akan memutuskan tindakan selanjutnya berhubung status perlawanan tersebut dalam masa terdekat," menurut kenyataan itu.
Ketika ini, Kuching City berada di tangga kelapan dengan 21 mata dan perlu menang atau sekurang-kurangnya seri dengan Kelantan United untuk layak ke saingan Piala Malaysia. - Bernama