Tersingkir ke Liga Premier, Perak FC buru slot Piala Malaysia ubati kekecewaan

Iklan
Anak buah Shahril Nizam akan melayan kunjungan Sabah di Ipoh, malam ini. - Foto Perak FC

PENOLONG Ketua Jurulatih Perak FC, Shahril Nizam Khalil menyifatkan aksi terakhir Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Perak malam ini cukup penting bagi meraih slot ke Piala Malaysia untuk sekurang-kurangnya mengubati kekecewaan selepas tersingkir ke Liga Premier musim depan.

Piala Malaysia dianggap sebagai peluang terakhir untuk Perak cuba menghadiahkan sesuatu kepada penyokong selepas bergelut dengan prestasi dalam saingan Liga Super pada musim ini.

Iklan
Iklan

Justeru, Shahril mahu barisan pemain tetap fokus untuk memastikan kemenangan berharga dapat diraih pada Ahad ini memandangkan UiTM FC juga masih berpeluang untuk layak sekiranya mereka menang ke atas Sri Pahang FC.

Apa yang pasti, beliau enggan anak buah memandang rendah terhadap kemampuan Sabah FC meskipun mereka pernah tewas besar 6-0 kepada Selangor FC pada minggu lalu selain berharap pasukan mampu merasai kemenangan sebagai penutup Liga Super selepas tewas dalam enam perlawanan terakhir sebelum ini.

Iklan

"Secara keseluruhannya, pemain-pemain saya masih menunjukkan kesungguhan dalam latihan dan cukup positif kerana kita dah tahu kedudukan pasukan macam mana, jadi sekurang-kurangnya satu mata sudah cukup untuk layak ke Piala Malaysia.

"Walaupun kita dah jatuh ke Liga Premier, tetapi perlawanan terakhir ini memang penting dan kita pun dah lama tak rasa kemenangan, jadi harapnya kita dapat raih tiga mata sebagai penutup liga musim ini.

Iklan

"Saya ada melakukan sedikit rombakan di mana Nazmi Ahmad digantung sebab tiga kad kuning, Rafiuddin Roddin pula ada sedikit kecederaan, kena tengok macam mana keadaan dia selepas ini, dan Azri Ghani pula sudah kembali daripada kem latihan Bawah 20 tahun, jadi kami akan pantau dia juga untuk aksi Ahad ini,” jelasnya.

Satu lagi perlawanan yang akan menjadi tumpuan pada Ahad ini membabitkan pertembungan Penang FC dan Terengganu FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, dalam misi merebut gelaran naib juara Liga Super.

Penyerang Terengganu FC, Faisal Abdul Halim mengakui cabaran yang semakin sukar perlu ditempuh selepas mereka tewas dalam tiga perlawanan sebelum ini sekali gus meletakkan pasukan di tangga keempat ketika ini.

Namun, itu tidak melunturkan semangat pemain-pemain bagi memberikan persembahan terbaik untuk kembali meletakkan pasukan di kedudukan lebih baik sepertimana yang pernah dilakukan mereka pada awal musim.

"Ini memang satu cabaran yang sukar untuk kita kerana pada awal musim, kita dah selalu di tangga kedua atau ketiga, tetapi tiba-tiba pada aksi-aksi terakhir ini, kita di nombor empat, pastinya bukan senang untuk kita.

"Tidak guna kalau awal musim kita selalu di atas, tetapi bila dah nak tamat liga, kita di tempat keempat atau kelima, jadi memang kita kena menang juga dalam perlawanan akhir ini.

"Saya percaya dengan rakan sepasukan lain untuk kita semua beri sepenuh hati dan tetap bersemangat dalam misi wajib menang Ahad ini”, katanya.

Kedah Darul Aman FC yang kini di tangga kedua liga juga tidak terkecuali dalam misi perebutan naib juara untuk tiket beraksi di Piala AFC 2022 apabila bakal berdepan Melaka United FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Enam perlawanan terakhir Liga Super akan berlangsung serentak pada malam ini yang juga menjadi penentuan slot secara rasmi ke Piala Malaysia.

Johor Darul Ta’zim (JDT) pula sudah sah bergelar juara Liga Super dan meraih slot ke Kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 selepas pasukan lain gagal mengejar kedudukannya di puncak liga.